Apabila sekatan pergerakan (lockdown) diumum bagi tempoh 1 hingga 14 Jun ini, beberapa rakan saya di media sosial menasihati orang ramai supaya mematuhi arahan dan duduk di rumah. Mereka membandingkan tempoh 14 hari sekatan pergerakan kendiri dengan kisah Nabi Nuh.
Kisah kapal yang dibina oleh Nuh sudah biasa didengar sejak kanak-kanak. Selain diceritakan dalam al-Quran, kisah ini dengan sedikit perbezaan juga sudah ada dalam Bible. Malah, mungkin kita tidak tahu kisah banjir besar yang terkenal ini juga terdapat dalam budaya India dan Greek.
Jika kita membaca mengenai Tamadun Mesopotamia (kini meliputi Iraq serta sebahagian Kuwait, Iran, Syria dan Turki), maka akan bertemu sekurang-kurangnya sembilan versi mengenai kisah banjir besar yang dipercayai berlaku di kawasan itu pada masa silam. Karya epik kuno seperti Gilgamesh dan Atrahasis merakam peristiwa banjir itu dan kapal yang dibina untuk menyelamatkan wira dalam cerita.
Seperti yang tercatat dalam al-Quran, Nabi Nuh berdakwah membawa ajaran tauhid selama 950 tahun dalam hidupnya. Majoriti tidak menjadi pengikutnya sehingga akhirnya Nuh meminta Tuhan memusnahkan golongan jahil berkenaan. Lalu, Nuh diarah membina sebuah kapal sebagai persediaan menghadapi banjir besar. Melihat tindakan Nuh membina kapal sedangkan tiada laut dan sungai di kawasan berhampiran, orang ramai mentertawakannya.
Nuh patuh pada arahan Tuhan, lalu membawa ahli keluarga, sekumpulan pengikut dan pasangan binatang masuk ke dalam kapal yang siap dibina. Jumlah manusia yang dibawa tidak dinyatakan secara tuntas. Isteri Nuh dan seorang anak tidak mempercayai dakwah yang disampaikannya. Maka, mereka berdua bersama-sama penduduk lain terkorban apabila Tuhan menurunkan banjir besar.
Gambaran yang hampir sama dapat dibaca dalam Bible. Rupa fizikal kapal yang dibina oleh Nuh tidak digambarkan dengan jelas dalam mana-mana kitab. Kita mungkin pernah bertemu orang yang menjual cincin dan tasbih daripada kayu kokka, kononnya digunakan dalam pembinaan bahtera Nuh. Sebenarnya, dalam al-Quran tidak disebut langsung jenis kayu yang digunakan.
Nuh membawa tiga anak lelaki dan menantu menaiki kapal. Turut dibawa pasangan semua binatang dan burung serta bekalan makanan. Hujan lebat turun selama 40 hari, 40 malam tanpa henti. Banjir besar menenggelamkan bumi selama 150 hari. Apabila banjir mula surut, bahtera yang dibina oleh Nuh dipercayai terdampar di atas Gunung Ararat. Nuh menunggu 70 hari lagi untuk banjir surut sepenuhnya.
Apabila banjir benar-benar surut selepas hampir 370 hari, Nuh dan keluarganya turun dan memulakan hidup baharu. Dalam kisah Adam dan Hawa, anak-anak mereka diizinkan berkahwin untuk melahirkan zuriat. Hal sama diizinkan oleh Tuhan kepada keluarga Nuh yang terselamat dan berperanan memastikan bumi kembali dipenuhi umat manusia. Namun begitu, dalam budaya kita, frasa ‘anak Adam’ digunakan dan bukannya ‘anak Nuh’ untuk merujuk kepada manusia.
IKAN
Hal berbeza pula dapat dilihat dalam kisah banjir besar dalam Tamadun India. Dalam kisah purana Hindu, seekor ikan memaklumkan tentang banjir besar yang bakal berlaku. Maka, sebuah kapal besar dibina untuk membawa kitab-kitab Veda, bekalan makanan (bijirin), keluarga Manu dan tujuh maharishi iaitu pakar agama.
Apabila banjir besar surut, Manu dipertanggungjawabkan memulakan kehidupan baharu bagi penghuni bumi. Dalam bahasa Sanskrit, perkataan manava membawa makna anak-anak Manu. Daripada istilah itulah juga muncul perkataan ‘manusia’ yang turut kita gunakan hari ini.
Gambaran rupa kapal atau bahtera yang muncul dalam tradisi Kristian, Islam dan India tidak diketahui secara jelas. Misalnya, tempoh masa yang diambil untuk membinanya, bahan-bahan yang digunakan, saiz, bentuk, keluasan dan kapasiti kapal berkenaan.
Jumlah individu yang berada di dalam kapal itu juga tidak dapat dipastikan secara tepat. Ada pendapat mengatakan enam, 72 atau 80 orang. Jumlah binatang serta spesies yang dibawa juga sukar diketahui dengan nyata. Ada pandangan, hanya sepasang bagi setiap binatang tetapi ada yang mengatakan binatang yang boleh disembelih dibawa tujuh pasang setiap jenis.
Belum dibincangkan lagi stok makanan yang dibawa ke dalam bahtera. Adakah kesemuanya dibawa untuk dijadikan makanan atau disyaratkan supaya dijadikan benih selepas banjir surut? Malah, benarkah seluruh muka bumi ditenggelami banjir besar atau hanya kawasan tertentu yang dihuni penduduk yang sempat menjadi sasaran dakwah Nuh?
Jika mahu dibincangkan dan dibahaskan, memang ada banyak perkara yang boleh dijadikan bahan dialog. Secara perbandingan, begitulah juga keadaan kita yang berdepan wabak Covid-19. Sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan diumum, timbul pelbagai persoalan dan kekeliruan. Kita hairan dengan arahan dan perintah yang berubah-ubah.
Kita sebagai masyarakat tertanya-tanya, mengapa seolah-olah pihak yang digelar ‘golongan kayangan’ diberi kelonggaran dan layanan istimewa? Arahan berhubung sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi juga menimbulkan kekeliruan. Banyak masalah komunikasi berlaku walaupun kita ada pemimpin yang berpelajaran dan kemudahan media komunikasi serba canggih.
Bandingkan pula dengan situasi semasa Nuh dan keluarga mengamalkan sekatan pergerakan kendiri bagi suatu tempoh yang tidak pasti. Komunikasi dengan dunia luar terputus tetapi keyakinan dan semangat untuk meneruskan hidup selepas bencana (banjir) tetap kuat dalam diri.
Sewaktu banjir mula surut dan puncak gunang-ganang kelihatan, Nuh menghantar burung gagak dan kemudian merpati selang tujuh hari untuk melakukan tinjauan.
Apabila merpati ketiga yang dilepaskan sebulan kemudian tidak datang semula, barulah Nuh yakin banjir sudah surut sepenuhnya dan selamat untuk turun dari kapal.
Pembacaan kisah-kisah seperti ini bukan hanya membantu kita mendekati kitab dan ajaran agama, malah turut membantu melakukan penilaian diri mengikut konteks semasa.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











