Pas sudah ambil tindakan aduan Mursyidul Am

Pas sudah ambil tindakan aduan Mursyidul Am

AHMAD YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas Pusat telah memainkan peranan sepenuhnya dalam isu yang dibangkitkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin tentang perkara yang dianggap tidak wajar berlaku di Perlis.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, proses siasatan serta nasihat dan pemantauan perjalanan Pas Perlis dan kerajaan negeri itu telah dilakukan mengikut segala dasar dan ketetapan parti.

Katanya, proses itu bukan sahaja dilaksanakan di Perlis tetapi di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang segalanya dilaksanakan secara dalaman dan berhati-hati demi memastikan keutuhan kerajaan dan kesatuan parti.

“Dengan penuh hormat, sebenarnya perkara yang dibangkitkan oleh Tuan Guru Mursyidul Am Pas berkaitan permasalahan di Perlis telah diambil perhatian dan tindakan sewajarnya oleh Pas Pusat, khususnya Tuan Guru Presiden.

“Apa yang jelas, andai wujud kelemahan dan kekurangan di Perlis, kami berpendirian tidaklah sampai ke peringkat dijatuhkan Menteri Besar, khususnya dalam tempoh yang semakin menghampiri pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad mengulas laporan Utusan Malaysia tentang kenyataan Hashim yang mendedahkan isu dalaman Pas di Perlis membabitkan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli telah dibawa ke pengetahuan Jawatankuasa Pas Pusat sejak tiga tahun lalu, namun sehingga kini masih belum menemui sebarang penyelesaian konkrit.

Menurut Hashim, sebagai Mursyidul Am Pas, beliau telah melaporkan perkara yang dianggap tidak wajar berlaku di Perlis itu kepada pimpinan pusat termasuk Presiden parti, namun maklum balas serta tindakan susulan yang diharapkan tidak berlaku.

Sementara itu, Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, perkara itu sewajarnya diserahkan kepada Pas Pusat untuk membuat sebarang keputusan dan tindakan, demi menjaga kemaslahatan semua pihak.

“Semua pihak diminta menutup ruang fitnah, menghormati disiplin jamaah dan memberi laluan kepada proses penyelesaian yang dijalankan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×