PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mendakwa Bersatu membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dengan niat melumpuhkan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dakwaan tersebut dinyatakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam afidavit sokongan bagi permohonan semakan kehakiman PN untuk mencabar dua notis RoS yang memberi amaran mengenai kemungkinan pembatalan pendaftaran gabungan itu serta mengarahkannya menghentikan aktiviti menggunakan nama PN.
Takiyuddin berkata, beliau percaya Bersatu mempunyai niat jahat apabila membuat aduan kepada RoS selepas parti berkenaan tidak dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa Bersatu tidak membuat aduan tersebut untuk mempertahankan apa-apa hak yang dipunyainya selaku parti anggota PN.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa Bersatu membuat aduan tersebut untuk melumpuhkan PN, suatu gabungan yang pada masa itu sedang ditentangnya dalam pilihan raya,” katanya dalam afidavit berkenaan.
Takiyuddin berkata, dakwaan tersebut turut merujuk kepada PRN Melaka yang tarikhnya masih belum ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PN sebelum ini dilaporkan menerima notis RoS pada 22 dan 23 September lalu susulan aduan Bersatu bahawa parti itu tidak dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN walaupun masih menjadi parti anggota gabungan tersebut.
RoS kemudian memberi tempoh 30 hari kepada PN untuk mengemukakan representasi berhubung notis berkenaan.
Sebagai maklum balas, Takiyuddin pada 24 September lalu mendakwa tindakan RoS mengeluarkan notis berkenaan mempunyai unsur niat jahat atau mala fide dan bertujuan memberikan tekanan politik terhadap PN.
PN kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan kejelasan mengenai status gabungan itu serta mencabar tindakan RoS.
Dalam afidavit tersebut, Takiyuddin turut mengemukakan beberapa peristiwa bagi menyokong dakwaan berhubung niat Bersatu membuat aduan berkenaan.
Menurut beliau, PN sebelum ini membangkitkan persoalan mengenai keabsahan Majlis Tertinggi Bersatu dan telah mengemukakan surat kepada parti itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut. – UTUSAN











