Majikan mesti pastikan pemandu bebas dadah

Majikan mesti pastikan pemandu bebas dadah

ANTHONY Loke Siew Fook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua syarikat pengendali kenderaan berat mesti mengambil tanggungja­wab dengan menyediakan me­kanisme pemantauan bagi me­mas­tikan pemandu mereka be­­bas­ daripada pengaruh dan pe­nya­lahgunaan dadah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada penguat kuasa semata-mata ke­rana ia memerlukan peranan dan kerjasama semua pihak.

Menurutnya, isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan berat me­rupakan ancaman besar kepada keselamatan jalan raya.

Katanya, jika tidak ditangani ia berisiko menyebabkan kemalangan serius serta meragut nyawa pengguna lain.

“Bukan sahaja pihak penguat kuasa yang perlu mengambil tindakan malah syarikat dan operator juga perlu ada perancangan serta tanggungjawab untuk memastikan pemandu mereka bebas daripada dadah.

“Ini perkara yang sangat berbahaya kerana mereka boleh menjadi ‘pembunuh jalan raya’ sekiranya berada di bawah pe­ngaruh dadah ketika memandu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Penjejak Penjimatan Pas My50 serta Pendigitalan Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Kembara di Stesen LRT Ampang Park di sini semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan berdasarkan rekod Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 261 peman­du kenderaan berat dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu.

Jumlah berkenaan dilaporkan ketika pemeriksaan dilaksanakan secara bersepadu khususnya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan, pemandu mengambil dadah bagi mengelak keletihan dan meningkatkan daya tahan fizikal ketika memandu jarak jauh.

Tambahnya, berdasarkan soal siasat AADK semasa operasi, penggunaan dadah khususnya dadah perangsang (ATS) digunakan sebagai satu kaedah mengelak mengantuk dan menangani tekanan dalam mematuhi jadual ketat penghantaran barang.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, sejak tahun lalu pelbagai operasi bersepadu telah dilaksanakan melibatkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta AADK bagi membanteras isu tersebut.

“Pendekatan lebih tegas semua pihak termasuk industri pengangkutan amat diperlukan selepas pelbagai hasil operasi ramai pemandu kenderaan berat terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Usaha menangani masalah berkenaan tidak boleh dilaksanakan secara berasingan sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh daripada agensi penguat kuasa,” katanya.

Sementara itu, pemantauan dan penguatkuasaan yang tidak konsisten dikenal pasti sebagai punca utama pemandu kenderaan berat masih terjebak dengan penyalahgunaan dadah meskipun undang-undang sedia ada telah lama dikuatkuasakan.

Pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, kelemahan sebenar bukan terletak pada ketiadaan undang-undang sebaliknya kegagalan pelaksanaan penguatkuasaan secara berterusan dan menyeluruh.

“Pemeriksaan dan ujian dadah ke atas pemandu kenderaan berat sering dilaksanakan secara bermusim melalui operasi khas, bukan secara konsisten sepanjang masa.

“Keadaan itu yang mewujudkan persepsi dalam kalangan pemandu bahawa risiko untuk dikesan adalah rendah dan boleh dielakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, pe­nguatkuasaan ketika ini terlalu tertumpu kepada individu pemandu sedangkan tekanan sebenar berpunca daripada sistem operasi syarikat pengangkutan.

“Antara faktor utama ialah jadual penghantaran yang panjang dan tidak munasabah, khususnya dalam industri logistik dan pengangkutan jarak jauh. Ramai pemandu dibayar berdasarkan perjalanan atau muatan, bukan jam kerja, sekali gus mendorong mereka memandu melebihi had keletihan selamat,” katanya.

Menurutnya, budaya industri yang menormalisasikan kerja berlebihan serta pemantauan dalaman syarikat yang longgar menyebabkan penggunaan dadah perangsang dianggap jalan pintas untuk kekal berjaga.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×