SEKEPING gambar yang dikongsikan seorang ahli Pas di laman sosial Facebook memaparkan Datuk Hashim Jasin jauh merenung dengan statusnya ‘Berkhilaflah, kritiklah atau kecamlah Mursyidul Am sekalipun, Insya-Allah anda tidak akan diberi amaran atau tindakan.
Perkongsian itu menarik perhatian saya. Gambar itu kelihatan biasa namun membawa makna cukup mendalam bagaimana seorang Mursyidul Am yang sepatutnya dihormati, ketika ini teruk dikritik, dikecam dan dibantah pihak tertentu di dalam Pas khususnya mereka yang berbeza pendekatan dengan Hashim berhubung soal pengguguran keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Perlis.
Dalam isu tersebut, Hashim hanya mengambil pendekatan berorientasikan perpaduan, sejajar dengan prinsip musyawarah dan keharmonian di dalam parti serta Perikatan Nasional (PN) yang nampaknya bertentangan dengan Pas Pusat yang lebih menekankan naratif pengkhianatan terhadap tiga ADUN berkenaan.

Meskipun sedar akan risiko kritikan itu, Hashim tetap memilih pendekatan berbeza untuk memastikan keharmonian Pas Perlis dan PN.
Dalam kemelut politik di Perlis itu, peranan Hashim seolah-olah diketepikan. Ia menimbulkan persoalan yang sangat mendalam.
Jika kemelut Perlis ini berlaku di Kelantan sewaktu Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, nescaya Pas akan menyerahkan mandat besar tersebut kepada Nik Abdul Aziz untuk menyelesaikannya.
“Demikianlah seharusnya juga di Perlis, ketika kemelut ini berlaku, Hashim yang bermastautin di Perlis dan dihormati oleh semua pihak termasuk dari parti-parti lain, malang sekali, apabila mandat tidak diberikan kepada beliau,” kata bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki di akaun Facebook miliknya baru-baru ini.
Ia mencetuskan persoalan, adakah dalam kalangan ahli Pas hanya melihat kedudukan Mursyidul Am hanya sebagai simbol kerohanian atau sekadar penasihat sahaja.
Dalam Perlembagaan Pas menyebut peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am adalah pada Fasal 9(1)(a)(b) dan (c) yang secara keseluruhan menggambarkan kuasanya yang cukup besar dan tidak ada mana-mana jawatan di dalam Pas yang punyai kuasai sebesar itu.
Peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am antaranya bertanggungjawab sebagai ketua Majlis Syura Ulama dalam melaksanakan kuasa-kuasa yang diperuntukkan dalam Fasal 8(1)(a)(b) dan (c).
Antara lain, menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura Ulama serta mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara Perlembagaan, dasar dan hukum Pas dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran parti.
Peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am juga dalam mengetuai Majlis Syura Ulama untuk melaksanakan peranan majlis itu, bukanlah sekadar mempengerusikan mesyuarat atau muzakarah semata-mata.
Salah satu peranan yang Hashim mainkan dalam mengetuai Majlis Syura Ulama ialah mengeluarkan arahan dan perintah agar apa-apa ketetapan yang diputuskan oleh majlis itu tentang apa-apa yang berkaitan dengan Islam termasuklah hukum-hukumnya, dipatuhi dan dilaksanakan oleh organisasi dan individu di bawah Pas.
Kemudian pada Fasal 9(1)(c), secara lebih khusus dan tidak terikat dengan mesyuarat atau muzakarah Majlis Syura Ulama, Mursyidul Am berperanan dan bertanggungjawab atas kapasiti jawatannya untuk mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara Perlembagaan, dasar dan hukum Pas dipatuhi oleh semua pihak di dalam parti.
Jelas sekali peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am ini bukan sekadar pengerusi mesyuarat.
Sekiranya diteliti kepada keseluruhan Perlembagaan Pas, tidak ada mana-mana pemegang jawatan di dalam Pas yang mempunyai kuasa mengeluarkan arahan dan perintah serta memantau dan mengawasi keseluruhan organisasi dan individu di bawah Pas melainkan Mursyidul Am.
Perlu juga diingat keseluruhan keputusan, kegiatan dan lain-lain di dalam Pas tidak sedikit pun terlepas daripada Islam dan hukum-hukumnya termasuklah dalam perkara yang berkaitan dengan pelantikan Perdana Menteri dan Menteri Besar.
Malah sepatutnya juga menjadi amalan di dalam Pas untuk melantik seseorang Perdana Menteri, Menteri Besar atau mana-mana jawatan utama yang berkaitan dengan amanah kepimpinan, perlu mengikut ketetapan Majlis Syura Ulama.
Calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya pun perlu mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama, sewajarnya di masa hadapan calon-calon untuk jawatan seumpama Perdana Menteri dan Menteri Besar juga perlu mendapat kelulusan majlis tersebut. Calon-calon pemimpin mewakili Pas tidak terkecuali daripada ketetapan syarak.
Dalam kemelut berkaitan pertukaran Menteri Besar Perlis, kata Mohd. Zuhdi, ia bukan hanya berkaitan dengan konflik dalaman Pas Perlis atau hubungan sesama parti komponen PN sebaliknya yang lebih utama berkaitan dengan hasrat nasihat daripada ‘payung rakyat Perlis’ dan Ketua Agama Negeri tersebut.
Kata beliau, sebagai sebuah parti politik dan Harakah Islamiyah, kedudukan Raja Perlis di dalam politik Islam yang menjadi dasar pegangan Pas, adalah seorang ketua negeri yang wajib ditaati. Ketaatan kepada Raja dan Sultan adalah suatu ketetapan syarak.
Mohd. Zuhdi melihat, Hashim telah mempertimbangkan kesemua perkara tersebut dan pendekatan beliau bukan sahaja bertepatan dengan kepentingan Pas, malah membawa keuntungan kepada parti itu. Lebih daripada itu pendekatan beliau adalah bertepatan dengan ketetapan syarak dalam mentaati pemerintah kerajaan yang lebih tinggi dan menjaga masalah umum rakyat Perlis. Pas akan lebih dihormati sekiranya pendekatan Mursyidul Am ini diterima.
Dalam struktur Pas, peranan Mursyidul Am bukan sekadar menjadi penasihat tetapi penjaga prinsip dan kesatuan dalaman parti dan sebarang tindakan sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Syura termasuk dalam soal kemelut politik di Perlis. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










