PARIT BUNTAR: Seorang pengusaha ladang ayam bergelar Datuk didenda RM50,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membenarkan pembiakan lalat di dua premis penternakan ayam di daerah Kerian.
Majistret Salwa Asmary Abdul Rahim menjatuhkan hukuman denda RM25,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Datuk Siah Gim Eng, 67.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membenarkan pembiakan lalat di sebuah ladang ayam di Gunung Semanggol pada 16 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah ladang ayam di Jalan Changkat Lobak pada tarikh sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(1) Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 17(2) enakmen sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan sepasukan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perak di ladang pertama mendapati kadar infestasi lalat mencecah 27.6, melebihi had ditetapkan jabatan itu, iaitu 14.
Ketika pemeriksaan, ladang tersebut menternak kira-kira 88,000 ekor ayam pedaging berusia sekitar 30 hari di dalam 14 reban terbuka.
Pemeriksaan di ladang kedua pula merekodkan kadar infestasi lalat 23.2, dengan kira-kira 190,000 ekor ayam pedaging berusia sekitar 28 hari diternak di dalam 14 reban terbuka.
Tiga sampel larva diambil dari setiap ladang untuk dianalisis di Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh dan keputusan makmal mengesahkan sampel berkenaan sebagai Muscidae spp., iaitu lalat rumah atau lalat kandang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPV Negeri Perak, Roziman Awang Tahrin yang memohon hukuman tegas dengan mengambil kira fakta kes serta rekod tindakan terdahulu terhadap tertuduh.
Menurut hujahan pendakwaan, tertuduh pernah dikenakan dua kompaun berjumlah RM15,000 bagi kesalahan berkaitan pembiakan lalat di setiap lokasi berkenaan dan kesemua kompaun itu telah dijelaskan.
Pihak pendakwaan turut memohon hukuman yang dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh, mencegah pengulangan kesalahan serta memastikan kepentingan kesihatan awam dan kebersihan persekitaran terus terpelihara.
Tertuduh membayar denda bagi kedua -dua pertuduhan tersebut. – UTUSAN











