LONDON: Pengurus Liverpool, Arne Slot percaya pasukannya masih berpeluang menutup musim yang penuh cabaran dengan pencapaian positif jika segera membetulkan kelemahan di barisan pertahanan serta meningkatkan ketajaman penyudah.
Menurut Slot, kesilapan mudah di benteng sendiri dan kegagalan memanfaatkan peluang jelas menjadi punca utama kemerosotan prestasi The Reds kebelakangan ini.
Kekalahan 2-3 kepada Bournemouth pada Sabtu lalu adalah kekalahan pertama Liverpool dalam semua pertandingan selepas 14 perlawanan, namun ia juga turut diwarnai beberapa keputusan seri yang mengecewakan.
Walaupun berjaya menamatkan kemarau panjang kejuaraan liga musim lalu dengan menjulang gelaran kedua sejak 1990, kedudukan Slot sebagai pengendali pasukan kini semakin mendapat perhatian.
Tekanan itu turut diperkukuh dengan spekulasi mengenai bekas tonggak tengah Liverpool, Xabi Alonso yang dikatakan bersedia kembali ke Anfield selepas meninggalkan Real Madrid.
Slot berkata Liverpool sering mencipta lebih banyak peluang berbanding lawan, namun gagal menghasilkan jaringan.
“Jika kami dapat memperbaiki prestasi di kedua-dua kotak penalti, kami mampu melakukan sesuatu yang sangat istimewa musim ini.
“Jika kami hanya mampu memperbaiki salah satunya sahaja, ia mungkin menjadi musim yang boleh diterima, tetapi tidak lebih daripada itu.
“Jika kami gagal memperbaiki kedua-duanya, akan ada banyak tekanan sepanjang musim,” katanya.
Slot, yang kini memasuki musim keduanya di Anfield, terjejas teruk akibat masalah kecederaan membelenggui pasukannya.
Penyerang Alexander Isak dijangka terlepas sebahagian besar baki musim selepas mengalami patah kaki, Joe Gomez dan Giovanni Leoni tersisih akibat kecederaan, sementara Ibrahima Konate tidak disenaraikan atas sebab peribadi susulan kematian bapanya.
Pemain tengah, Wataru Endo dijangka bergandingan bersama Virgil van Dijk, yang pada usia 34 tahun adalah satu-satunya pertahanan tengah terbaik dimiliki Slot.
“Tiada pertahanan tengah lain yang ada selain Van Dijk. Dia antara pemain yang saya puji kerana sentiasa cergas pada usia sebegitu dan sentiasa bersedia untuk bermain 90 minit lagi. Itu sesuatu yang tidak seharusnya kita ambil mudah,” kata Slot. – AGENSI/UTUSAN










