Tabung Pos Malaysia ditubuh kendali peruntukan RM50 juta

Tabung Pos Malaysia ditubuh kendali peruntukan RM50 juta

Pos
AHMAD Fahmi Mohamed Fadzil melihat bungkusan yang diletakkan di dalam AV pada majlis pelancarannya di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi mewujudkan Tabung Perkhidmatan Pos yang akan digunakan oleh Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bagi menangani cabaran dalam perkhidmatan penghantaran surat.

Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, tabung tersebut akan dilaksanakan seawal suku ketiga tahun ini dengan mengendalikan peruntukan RM50 juta pada tahun ini bagi melaksanakan dasar dalam Universal Service Obligation (USO).

Katanya, dana tersebut diumum pada Oktober tahun lalu bagi membantu Pos Malaysia melaksanakan tugas-tugas di bawah USO berkaitan dasar mesra alam dan mampan seperti tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG).

“Menjelang penubuhan Tabung Perkhidmatan Pos, fungsi penyediaan itu akan dikendalikan oleh tabung tersebut kerana kita lihat pada hari ini beberapa cabaran dihadapi sektor terutama penghantaran surat.

“Jadi, untuk mel atau kurier ada beberapa perkara perlu dibantu bagi memastikan peralihan kepada model perniagaan lebih mampan itu dapat dilaksanakan dengan lebih lancar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kenderaan Autonomi (AV) Pos Malaysia, hari ini.

Tambahnya, Pos Malaysia sedang dalam peralihan kepada penggunaan AV tanpa pemandu ke arah pelaksanaan operasi penghantaran mel dengan pelepasan sifat karbon yang kini berada dalam fasa proof of concept (POC).

Fasa POC dijangka memakan masa antara tiga hingga enam bulan sebelum diberikan penilaian dan kelulusan oleh Kementerian Pengangkutan melalui jabatan di bawahnya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan.

Jelas Ahmad Fahmi, bagi peringkat tersebut, Pos Malaysia mengoperasikan AV di dalam fasilitinya sendiri dahulu sebelum dibenarkan untuk bergerak keluar bagi menghantar mel ke pejabat-pejabat pos.

Namun, beliau menjelaskan peralihan tersebut tidak akan menyebabkan berlaku pengurangan pekerja sebaliknya Pos Malaysia diminta untuk menyediakan latihan sama ada penerapan atau peningkatan kemahiran.

”Saya memberi isyarat jelas kepada Pos Malaysia tidak boleh berlaku satu keadaan mereka hilang pekerja. Teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai contoh kalau dalam sektor pos dan kurier, kenderaan berautonomi perlu diserasikan dengan usaha mengekalkan tenaga kerja.

“Mungkin ada reskilling atau upskilling supaya tenaga kerja itu boleh dimanfaatkan untuk tugas-tugas yang lebih kompleks,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×