Negara Teluk, Turkiye yakinkan Trump tangguh serangan AS ke atas Iran

Negara Teluk, Turkiye ‘pujuk’ Trump tangguh serangan AS ke atas Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi, Qatar, Turkiye dan Oman menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump supaya menangguhkan serangan udara ke atas Iran, ekoran kebimbangan tindakan Washington boleh mencetuskan konflik besar dan sukar diselesaikan di seluruh Asia Barat.

Amaran mengenai kemungkinan huru-hara tercetus daripada sekutu lama AS itu dilihat berjaya meyakinkan Trump untuk menangguhkan serangan ketenteraan buat sementara waktu.

Arab Saudi turut menolak penggunaan ruang udaranya oleh AS untuk melancarkan sebarang serangan.

Dalam perbincangan berterusan, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran, Oman dan Turkiye pada Khamis.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menyeru dialog antara Iran dan AS.

“Kami berharap AS dan Iran akan menyelesaikan isu ini antara mereka sama ada melalui perantara, pihak lain atau dialog terus. Kami sedang mengikuti perkembangan ini dengan teliti,” katanya.

Iran masih secara politik terpisah daripada negara-negara Teluk, sebahagiannya disebabkan sokongan yang berterusan terhadap rangkaian proksi serantau yang semakin lemah dikenali sebagai paksi ketahanan.

Ia termasuk penolakannya untuk menyokong penyelesaian dua negara bagi Palestin dan pertikaian mengenai tiga pulau di Teluk yang dituntut oleh Kesatuan Emiriah Arab (UAE), tuntutan yang disokong oleh Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Namun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi juga telah melakukan siri lawatan ke ibu kota Arab yang dikatakan berjaya memperbaiki hubungan.

Tahun lalu, beliau mengunjungi Bahrain, menjadi menteri Iran pertama melakukan lawatan itu sejak 2010.

Beliau juga melawat Kaherah empat kali tahun lalu dalam usaha memperbaiki hubungan. Hubungan diplomatik kedua-dua pihak terputus pada 2016.

Hubungan Saudi-Iran yang pernah paling tegang di Asia Barat, berada di landasan pemulihan selama tiga tahun. Araghchi memastikan beliau dirakam ketika mencuba hidangan tempatan di ibu kota Arab yang dilawatinya.

Kesemua negara Teluk sedar gangguan yang boleh berlaku terhadap trafik maritim di Teluk disebabkan Iran.

Baru-baru ini, Araghchi cuba meyakinkan negara-negara Teluk yang Iran kurang berisiko terhadap kestabilan global berbanding Israel, satu hujah yang menjadi lebih munasabah selepas Israel mengebom Doha pada September lalu dengan niat untuk membunuh perunding Hamas yang tinggal di ibu kota Qatar hampir sedekad.

Israel gagal mencapai sasaran utama mereka, tetapi dilaporkan membunuh lima anggota berpangkat rendah kumpulan itu.

AS yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai serangan itu, memohon maaf secara langsung kepada Emir Qatar dan menawarkan jaminan keselamatan baru untuk Doha bagi melindungi Qatar daripada serangan Israel seterusnya.

Pada masa itu, Qatar menuduh Israel cuba mensabotaj setiap peluang untuk keamanan di rantau ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×