TUNTUTAN mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah atau status dan jumlah pajakan yang perlu dibayar harus dilihat dalam konteks sejarah, fakta dan perundangan agar dapat mengelakkan kesan negatif.
i) Perkara 1 (2) bertajuk Nama, negeri-negeri dan wilayah-wilayah Persekutuan menyatakan negeri-negeri Persekutuan termasuk Pulau Pinang.
Ketetapan adalah persetujuan yang ditandatangani semua negeri yang membawa maksud Kedah, Pulau Pinang dan semua negeri di bawah Persekutuan adalah negeri yang sah, bebas, merdeka dan berdaulat.
ii) Perkara 2 (b) bertajuk Penerimaan masuk wilayah-wilayah baru ke dalam Persekutuan menyatakan perubahan sempadan mana-mana negeri memerlukan persetujuan negeri tersebut dan Majlis Raja-Raja.
Untuk mengubah sempadan negeri tidaklah semudah yang difikirkan kerana dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.
iii) Perkara 4 (1) bertajuk Undang-undang utama Persekutuan menyatakan Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
Ini menunjukan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang bertentangan adalah tidak sah. Semua ketetapan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dipersetujui semua raja dan negeri di Semenanjung mahupun Sarawak dan Sabah (1963). Ini bermaksud semua undang-undang yang hendak dibentuk perlu merujuk Perlembagaan Persekutuan agar tidak bertetangan.
iv) Perkara 70 (1) yang bertajuk Keutamaan raja dan Yang Dipertua Negeri menunjukan menunjukan Yang Dipertua Negeri turut memiliki status dan kedudukan dalam herarki sistem raja berpelembagaan yang memiliki kedaulatan masing-masing. Sebarang provokasi terhadap raja dan Yang Dipertua Negeri menjejaskan Perkara 70 (1).
v) Perkara 71 (1) (3) dan (4) yang bertajuk Jaminan Persekutuan terhadap perlembagaan negeri bertanggungjawab memberikan jaminan kedudukan dan menjalankan hak di negeri. Sekiranya berlaku ketidakpatuhan di negeri, maka Parlimen (Persekutuan) boleh membuat undang-undang untuk pematuhan dan menghapuskan peruntukan yang tidak selaras. Dalam konteks ini, kedudukan dan perlembagaan negeri adalah di bawah jaminan kerajaan Persekutuan.
vi) Jadual Kelapan Perkara 71 (1) bertajuk Peruntukan yang hendaklah dimasukkan ke dalam perlembagaan negeri; raja bertindak ikut nasihat. Berdasarkan ketetapan ini, raja bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan dan tertakluk peruntukan ditetapkan Perlembagaan Persekutuan. Justeru, menjadi kewajipan ahli mesyuarat kerajaan untuk memberikan nasihat yang betul, tepat dan tidak mengatasi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
vii) Perkara 75 bertajuk Ketidakselarasan antara undang-undang Persekutuan dengan undang-undang negeri menyatakan sekiranya terdapat percanggahan maka undang-undang Persekutuan mengatasi undang-undang negeri. Ini menunjukan sebarang undang-undang yang bercanggah dengan Persekutuan maka ia terbatal atau tidak sah.
viii) Perkara 76 (1) (a) (b) bertajuk Kuasa parlimen untuk membuat undang-undang bagi negeri-negeri dalam hal-hal tertentu menyatakan Parlimen memiliki kuasa yang dapat membuat undang-undang kepada negeri bagi tujuan perjanjian dengan negara luar dan bagi mewujudkan keseragaman antara negeri.
Dalam konteks ini Persekutuan memiliki kuasa membuat undang-undang kepada negeri dua atau lebih bagi tujuan keseragaman. Ia secara langsung menunjukan Parlimen boleh mengambil tindakan dalam isu yang membabitkan Pulau Pinang dan Kedah bagi tujuan keseragaman undang-undang bagi kedua-dua negeri.
ix) Perkara 160 bertajuk Tafsiran menyatakan tafsiran negeri membabitkan dalam senarai bersama dan memiliki Badan Perundangan Negeri yang memiliki kuasa membuat undang-undang membuktikan Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang sah dan berdaulat setaraf dengan negeri-negeri lain. Ini bermaksud Pulau Pinang bebas dan berdiri sebagai sebuah negeri di bawah Persekutuan.
x) Perkara 167 (7) bertajuk Hak, liabiliti dan obligasi menyatakan kerajaan Persekutuan perlu membuat jumlah pembayaran tahunan yang sama seperti mana yang dikenakan sebelum kemerdekaan negara. Ini menunjukan jumlah pembayaran pajakan yang dibayar Pulau Pinang sebanyak 10,000 dolar Sepanyol perlu dibayar oleh kerajaan Persekutuan kepada Kedah. Ini menunjukan tanggungjawab beban bayaran pajakan tahunan Pulau Pinang telah diambil alih oleh kerajaan Persekutuan dan bukannya Pulau Pinang.
xi) Perkara 169 (a) Perjanjian dan sebagainya antarabangsa yang dibuat sebelum Hari Merdeka turut memperkukuhkan perkara 167 (7) yang mana apa sahaja perjanjian yang dimetrai sebelum merdeka telah dijadikan sebagai perjanjian dengan Persekutuan. Ini bermaksud perjanjian pajakan yang dibuat oleh British dengan Kedah menjadi tanggungjawab Persekutuan sementara Pulau Pinang terlepas dari tanggungjawab itu selepas merdeka.
Dalam aspek analisa dan fakta perundangan sekiranya membabitkan soal jumlah tuntutan pajakan dilihat berisiko membawa kerugian kepada Kedah. Dalam perjanjian, jumlah bayaran oleh British adalah 10,000 dolar Sepanyol.
Dalam Perkara 167 (7) jelas menunjukan perkataan “pembayaran tahunan yang sama” seperti mana yang dibayar sebelum Merdeka (1957). Ini bermaksud jumlah yang tertera 10,000 dolar Sepanyol adalah jumlah dan angka yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan sejak 1957 sehingga 2026.
Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada 2018 memperuntukkan ‘sumbangan khas’ RM 10 juta atas ihsan atau bayaran khas kepada Kedah yang ketika itu diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Sekiranya masalah tuntutan jumlah harga pajakan dibawa ke mahkamah berisiko memberikan kerugian kepada kerajaan negeri Kedah kerana :
a) Kes tuntutan ini dibawa ke mahkamah maka adalah tidak mustahil sekiranya kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan untuk membayar dalam bentuk nilai mata wang Sepanyol seperti tertera dalam perjanjian maka jumlah 10,000 dolar Sepanyol atau RM 288.53 setahun jumlah pajakan (pada kadar tukaran 1.00 Spanish Peseta kepada RM 0.0288).
b) Sekiranya 10,000 dolar Sepanyol yang tertera dalam perjanjian ditukar kepada nilaian semasa menggunakan kadar nilai mata wang Euro maka akan berjumlah RM47,663.58 setahun (dalam kadar tukaran 1.00 Euro kepada RM4.77 sen).
Ini bermaksud sekiranya kerajaan Persekutuan mengambilkira nilai dan jumlah tertera dalam perjanjian lama ia akan memberikan risiko kerugian iaitu Kedah hanya layak RM47,663.58 setahun berbanding jumlah yang didapati RM10,000 dan RM10 juta semenjak 2018 yang dibayar kerajaan Persekutuan. Ini adalah risiko kerugian yang bakal ditanggung Kedah dalam konteks kandungan Perjanjian dan Perlembagaan Perkara 167 (7).
c) Sekiranya tuntutan yang akan dibuat Kedah seperti yang dilaporkan oleh media berjumlah RM100 juta maka ia adalah di luar dari konteks Perjanjian British dengan Kedah dan sekiranya Kedah masih berusaha mendapatkan jumlah yang melebihi dari apa yang dimeterai maka memerlukan perjanjian baharu dengan kerajaan Persekutuan.
RM10 juta wajib dibayar?
Sumbangan khas yang dibayar kerajaan Persekutuan hanyalah ihsan atau sumbangan dengan pelbagai terma seperti :-
i) Pembayaran RM10 juta semenjak 2018 dibayar sebagai sumbangan khas. Ini dapat dilihat dalam rekod Hansard Dewan Rakyat pada 8 Ogos 2018, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng menyatakan pada 4 Julai 2018, Kabinet bersetuju kerajaan Persekutuan membayar sumbangan khas sebanyak RM10 juta setahun kepada Kerajaan Negeri Kedah bermula 2018.
ii) Pada 17 Jun 2004, Dr. Mahathir menggunakan terma honorarium yang merujuk pembayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah.
iii) Pada 8 Ogos 2018, Mukhriz menggunakan terma pampasan yang merujuk kepada sumbangan khas yang diberikan kerajaan Persekutuan.
vi) Terma peruntukan khas Guan Eng pada 8 Ogos 2018 yang merujuk kepada sumbangan khas RM10 juta kepada Kedah. Manakala pada 14 Ogos 2018, Mukhriz turut menggunakan terma ini ketika membincangkan pembayaran RM10 juta kerajaan Persekutuan kepada Kedah.
Kedah menyedari RM10 juta adalah bentuk sumbangan dan tidak menjadi ketetapan atau kewajipan. Sekiranya kerajaan Persekutuan menarik balik pembayaran sumbangan khas itu dan hanya membayar RM10,000 dolar Sepanyol seperti tertera dalam perjanjian lama maka kerugian kepada negeri itu.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohamad Faisol Keling ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).










