TEHERAN: Agensi perisikan Iran menyatakan senjata dan peralatan letupan buatan Amerika Syarikat (AS) dirampas daripada ‘anggota sel’ yang menyembunyikan peralatan tersebut di beberapa rumah di negara itu.
Menurut kenyataan rasmi, rampasan itu melibatkan senjata api dan peranti letupan yang dipercayai cuba diseludup atau disimpan secara rahsia oleh kumpulan yang dituduh terlibat dalam kegiatan subversif di dalam negara.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi turut mengumumkan, pihak berkuasa mempunyai rakaman suara dari luar negara yang memberi arahan kepada para penunjuk perasaan, menunjukkan wujudnya elemen luar yang cuba mempengaruhi pergerakan protes semasa.
Para pegawai Iran juga menuduh AS dan Israel menggunakan ‘ejen asing’ untuk mencetuskan keganasan di dalam negara, dengan tujuan membenarkan kemungkinan penggunaan kekuatan ketenteraan terhadap Republik Islam tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Abbas dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Mohammad Ishaq Dar mengadakan perbincangan melalui telefon mengenai situasi semasa di Iran dan juga isu serantau, menurut laporan rasmi agensi berita IRNA.
Mohammad dalam perbualan itu menekankan kepentingan dialog dan perhubungan secara berterusan sepanjang protes yang sedang berlangsung, menyatakan penyelesaian melalui perbincangan adalah penting di tengah-tengah suasana tegang.
Semalam, Kementerian Maklumat dan Penyiaran Pakistan menafikan laporan yang tersebar di media sosial mendakwa Pakistan mungkin digunakan sebagai pangkalan bagi kemungkinan serangan ketenteraan AS ke atas Iran, menurut laporan media Pakistan.-AGENSI










