Pencerobohan tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas Venezuela dengan berlandaskan misi menghapuskan jenayah narkotik, membela kemanusiaan dan pemulihan demokrasi bukanlah sekadar satu insiden ketenteraan terpencil.
Ia adalah titik genting dalam landskap geopolitik pasca-Perang Dingin yang mencerminkan peralihan paradigma dalam kuasa global dengan melanggarkan prinsip kedaulatan negara boleh mencetuskan rangkaian kesan domino yang mengancam struktur keselamatan antarabangsa.
Serangan AS secara terang menjelaskan pertembungan antara unipolariti yang masih dipertahankan oleh Washington dengan multipolariti baharu yang diperjuangkan oleh kuasa-kuasa dunia lain.
Hal ini juga sekali gus menambah luka dalam sistem tadbir urus global yang masih belum pulih misalnya isu Perang Rusia-Ukraine, pembunuhan di Gaza dan Konflik Selatan Thailand. Pada dasarnya, naratif AS berputar sekitar isu menggulingkan rejim diktator Nicolas Maduro yang dikaitkan dengan ‘narco-terrorism’, membebaskan rakyat Venezuela dari krisis kemanusiaan dan memulihkan demokrasi.
Namun, jika diamati ia mempunyai motif lebih kompleks dan saling berkaitan. Pertamanya, kepentingan geopolitik strategik iaitu Venezuela memiliki rizab minyak terbesar di dunia maka kawalan ke atasnya adalah penting dalam persaingan tenaga global terutamanya dalam konteks untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga Russia.
Keduanya, doktrin keselamatan hemisfera AS yang melihat kehadiran pengaruh Russia, China, dan Iran yang kukuh di Venezuela melalui pelaburan, bantuan ketenteraan dan kerjasama teknikal sebagai ancaman langsung kepada ‘Doktrin Monroe’ dan hegemoni kuasa Barat dan Eropah.
Ketiganya, faktor dalaman AS yang sering menggunakan tindakan ketenteraan sebagai alat untuk menyatukan naratif patriotik dan mengalih perhatian dari krisis dalaman yang sedah dihadapi.
Keempat adalah amaran kepada pesaingnya iaitu Russia dan China bahawa AS sanggup menggunakan kekerasan ketenteraan untuk mengekalkan pengaruhnya walaupun di kawasan yang secara sejarahnya berada dalam lingkungan pengaruh Rusia dan China.
Kesan segera dan paling ketara adalah pertamanya perpecahan dan polarisasi global yang mendalam. Sidang Keselamatan PBB mengalami kebuntuan total dengan AS dan sekutu Baratnya seperti United Kingdom dan Perancis yang menyokong tindakan tersebut manakala Russia, China, dan sebahagian besar Global Selatan termasuk India dan Afrika Selatan mengutuknya sebagai pelanggaran secara terang-terangan terhadap Piagam PBB dan prinsip kedaulatan.
Perpecahan ini lebih mendalam daripada pencerobohan Iraq pada 2003 kerana kini wujud blok kuasa alternatif yang mampu memberikan penentangan politik, ekonomi, dan ketenteraan.
Kedua, pengukuhan paksi kuasa anti-hegemoni di mana Rusia dan China selain mengecam tindakan AS, berkemungkinan akan meningkatkan bantuan ketenteraan dan perisikan kepada Venezuela dan sekutunya seperti Nicaragua dan Cuba sebagai tindak balas langsung.
Ini bukan sekadar tentang Venezuela, tetapi tentang membentuk ‘garis merah’ kolektif terhadap pengembangan ketenteraan AS. Kerjasama strategik Moscow-Beijing boleh bertukar menjadi pakatan ketenteraan yang lebih nyata dengan latihan bersama dan penempatan aset di Amerika Latin.
Ketiga, keruntuhan sistem institusi multilateral boeh berlaku kerana tindakan unilateral AS tanpa mandat PBB yang jelas telah memberikan ‘pukulan maut’ kepada kredibiliti dan autoriti pertubuhan antarabangsa. Ini mengukuhkan persepsi bahawa undang-undang antarabangsa hanya terpakai kepada negara lemah, manakala kuasa besar beroperasi mengikut peraturan mereka sendiri.
Negara-negara kecil akan hilang kepercayaan terhadap sistem ini dan mungkin mencari perlindungan di bawah payung ketenteraan kuasa besar yang bakal mempercepatkan perlumbaan pengukuhan industri senjata serantau.
Keempat, akan berlakunya perubahan dinamik di Amerika Latin kerana serangan ini membangkitkan sentimen anti-Amerika yang mendalam. Ia akan menyatukan dan mengukuhkan hubungan puak sayap kiri dan kumpulan di tengah yang menolak intervensi asing.
Negara-negara seperti Brazil, Mexico, dan Argentina mungkin mengambil langkah lebih berhati-hati dalam politik luar negera dengan menjauhkan diri dari tindakan unilateral Washington.
Sementara itu, pergolakan dan migrasi besar-besaran dari Venezuela akan bertambah buruk dan membebankan jiran serantau.
Serangan AS ke atas Venezuela bukanlah penyelesaian kepada krisis negara itu tetapi permulaan kepada krisis global yang lebih besar. Ia menandakan peralihan kepada era di mana kekuatan tentera dan realpolitik terbuka menjadi norma utama. Kesan geopolitiknya adalah penstrukturan semula paksi kuasa ke arah dunia multipolar yang lebih bermusuhan.
Ancaman keselamatan global boleh mewujudkan keganasan, krisis tenaga dan perlumbaan senjata yang berpotensi lebih merosakkan daripada konflik di Ukraine atau Asia Barat.
Komuniti antarabangsa kini berdepan pilihan sukar sama ada membiarkan undang-undang rimba menentukan hubungan antarabangsa atau bersatu untuk menuntut pengembalian kepada diplomasi dan penghormatan terhadap kedaulatan walaupun terhadap kuasa besar.
Masa depan tadbir urus global dan keamanan sejagat bergantung pada pilihan yang dibuat dalam menghadapi titik genting yang sangat penting ini. Venezuela hanyalah latar pentas namun sandiwara sebenar adalah tentang menentukan peraturan untuk peradaban dan pembangunan sejagat di abad ke-21.
DR. Mohd. Ramlan Mohd. Arshad ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Seremban.










