Jangan terperdaya pingat Datuk palsu

Jangan terperdaya pingat Datuk palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 22 Disember 2023, akhbar Utusan Malaysia menerbitkan berita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha mengesan mangsa penipuan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu.

Sementara pada 27 Jun 2024, seorang ahli perniagaan didenda RM200,000 kerana menggunakan gelaran Datuk palsu manakala pada Januari 2025, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disiasat kerana menjual pangkat kehormat dan pingat palsu secara tidak sah.

Dari semasa ke semasa, kita membaca pelbagai berita mengenai isu seperti ini. Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) pula digubal bagi membendung gejala ini yang halus tetapi berbahaya.

Dalam suasana apabila pingat, darjah kebesaran dan gelaran tertentu semakin mudah diperdagangkan, dipamerkan tanpa kelayakan, malah disalahgunakan sebagai modal sosial dan politik, kita perlu memuji keputusan Parlimen mengambil langkah memperkenalkan satu rangka perundangan yang tegas.

Saya meluangkan masa membaca dan memahami Akta 787 yang diwartakan pada 10 Februari 2017 dan berkuat kuasa mulai 10 Januari 2019. Ternyata akta ini bukan sekadar bersifat menghukum tetapi bertujuan mendidik masyarakat tentang nilai, maruah dan kedaulatan institusi anugerah, khususnya anugerah yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu.

Secara asasnya, Akta 787 menetapkan anugerah bukanlah hiasan kosong atau aksesori peribadi. Anugerah ialah simbol pengiktirafan negara terhadap jasa, pengorbanan dan sumbangan luar biasa seseorang individu.

Maka, dalam Akta 787 ada konsep ‘anugerah tidak diiktiraf’ iaitu apa-apa bentuk anugerah yang menyerupai anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong tetapi dianugerahkan oleh pihak yang tidak mempunyai kuasa.

Melalui peruntukan ini, undang-undang menutup ruang kepada individu atau pertubuhan yang gemar mencipta ‘darjah kebesaran’ sendiri, lengkap dengan istiadat dan lambang kebesaran, semata-mata untuk mengaut keuntungan atau prestij palsu.

Bahagian yang menyentuh larangan menerima dan menggunakan anugerah tidak diiktiraf adalah antara teras utama Akta 787. Seseorang bukan sahaja dilarang menerima anugerah sedemikian, malah dilarang menggunakan gelaran atau panggilan yang dikaitkan dengannya dalam apa jua bentuk.

Pada penelitian saya sewaktu membaca kesemua 19 seksyen dalam lima bahagian pada Akta 787, ternyata ia bersifat prospektif, berterusan dan menyeluruh.

Misalnya, walaupun sesuatu anugerah itu diterima sebelum Akta 787 berkuat kuasa, penggunaannya selepas tarikh kuat kuasa tetap menjadi kesalahan. Perkara ini menunjukkan pendirian tegas negara bahawa kesalahan berhubung anugerah tidak boleh dimaafkan atas alasan kebiasaan atau sejarah lampau.

Akta 787 juga menelusuri dimensi simbolik anugerah melalui larangan membuat, memiliki atau mengedar lambang kebesaran bagi anugerah tidak diiktiraf.

Lambang seperti selempang, kalung, bintang, lencana dan pingat bukan sekadar objek fizikal tetapi membawa makna kedaulatan dan autoriti. Dengan mengklasifikasikan perbuatan membuat atau memiliki alat untuk menghasilkan lambang tersebut sebagai jenayah, Akta 787 memutuskan rantaian industri gelap yang selama ini menyokong kewujudan anugerah palsu. 

Dalam  konteks ini, Akta 787 berfungsi sebagai benteng budaya serta mempertahankan kesucian simbol negara daripada dipermainkan pihak tidak bertanggungjawab.

Satu lagi aspek penting ialah larangan menyatakan diri sebagai pemegang anugerah Yang di-Pertuan Agong tanpa kelayakan sebenar. Peruntukan Seksyen 8 mungkin kelihatan mudah tetapi implikasinya amat besar dan penting.

 

GELARAN Datuk palsu menjejaskan maruah individu dan menipu masyarakat.

 

TIDAK BOLEH DIBELI

Dalam masyarakat Malaysia yang masih memberikan penghormatan tinggi kepada gelaran, pengakuan palsu boleh membawa kelebihan sosial dan ekonomi yang tidak adil kepada individu terbabit. Maka, Akta 787 menegaskan, kehormatan tidak boleh ditiru atau direka, sebaliknya mesti datang melalui pengurniaan yang sah.

Akta ini menerusi Seksyen 9 turut mengawal penggunaan anugerah yang dibatalkan atau ditarik balik serta penggunaan gelaran oleh individu yang tidak  lagi berhak, misalnya bekas pasangan penerima anugerah. Di sini,  undang-undang memperlihatkan kehalusan dalam memahami konteks sosial.

Gelaran bukan hak mutlak yang kekal selama-lamanya tetapi terikat kepada syarat, hubungan dan status tertentu. Apabila asas kelayakan itu gugur, penggunaan gelaran juga mesti terhenti.

Dalam dunia global hari ini, anugerah asing turut mendapat perhatian khusus. Bahagian III dalam Akta 787 menetapkan warganegara Malaysia hanya boleh menerima anugerah asing daripada Ketua Negara yang diiktiraf dan dalam kebanyakan keadaan memerlukan kebenaran bertulis Yang di-Pertuan Agong.

Bahagian IV dalam Akta 787 mengenai suapan merupakan antara peruntukan yang paling keras dari segi hukuman. Perbuatan meminta, menerima atau memberi suapan bagi mendapatkan anugerah, sama ada anugerah tidak diiktiraf, istiadat pengurniaan atau anugerah asing tidak diiktiraf, boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga dua puluh tahun.

Hukuman berat ini sepatutnya menghantar mesej yang jelas bahawa anugerah tidak boleh dibeli. Ia bukan komoditi pasaran tetapi lambang integriti sebuah negara berdaulat. 

Kesalahan ini dianggap sebagai jenayah suapan iaitu sama dengan takrif dalam Seksyen 3 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Akhirnya, terdapat juga peruntukan yang dilabel sebagai ‘pelbagai’ dalam Bahagian V dalam Akta 787. Ia mengambil kira pemakaian akta di luar wilayah dan penyelarasan dengan undang-undang negeri, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan tiada ruang kelompongan. 

Seseorang tidak boleh melarikan diri daripada tanggungjawab undang-undang hanya kerana kesalahan dilakukan di luar sempadan negeri atau negara.

Pada penelitian saya, Akta 787 bukan sekadar teks undang-undang yang kaku. Akta ini mendidik masyarakat bahawa kehormatan tidak boleh dipalsukan, gelaran tidak boleh diperdagangkan dan simbol negara tidak boleh dijadikan bahan jenaka.

Dalam dunia yang semakin kabur antara yang asli dan yang tiruan, Akta 787 berdiri kukuh sebagai peringatan bahawa maruah institusi negara mesti dipelihara, bukan sahaja oleh undang-undang tetapi juga menerusi kesedaran dan integriti yang kukuh dan menjadi budaya hidup kita sebagai rakyat Malaysia.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×