ALOR SETAR: Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan tidak selari dengan Dasar Pendidikan Nasional (DPN).
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UEC juga tidak berpaksikan kepada teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digariskan dalam Akta 550.
“Pihak yang desak kerajaan mengiktiraf UEC perlu baca, faham dan hadam terlebih dahulu Akta 550 sebelum buat sebarang tuntutan. Itu asas untuk bercakap berkaitan sesuatu perkara dalam konsep hidup sebuah negara di mana kita perlu letak asas kenegaraan sebagai perkara pokok.
“Kita jangan hanya tahu hendak bercakap semua perkara tetapi tidak memahami perkara asas kepada topik atau isu yang dibangkitkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Mahdzir, mereka perlu lebih matang dan tidak semberono dalam membuat apa-apa tuntutan yang tidak selari dengan mana-mana akta di negara ini.
“Saya minta semua pemimpin politik daripada DAP dan juga pejuang-pejuang UEC, supaya menghormati Akta 550 dan mengutamakan kepentingan nasional khususnya dalam memartabatkan pendidikan negara,” katanya.
Mahdzir yang juga Pengerusi UMNO Kedah berkata, isu pengiktirafan UEC tidak sepatutnya dibangkitkan lagi jika pejuang-pejuang UEC menghormati segala akta yang telah termaktub secara terang dan jelas.
“Apa keperluan yang sangat mendesak bagi UEC untuk diiktiraf, sedangkan sijil-sijil lain yang bertaraf antarabangsa seperti O-Level dan IGCSE sudah sedia ada dan telah diiktiraf oleh kerajaan sejak sekian lama.
“Semua tahu UEC tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan kerana ada komponen yang tidak sepadan, terutama kandungan silibus subjek Sejarah yang berfokus kepada negara China dan Asia Timur, yang bukan silibus sejarah Malaysia mengikut standard Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.
Katanya, selain tidak menggunakan Kurikulum Kebangsaan, UEC juga tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, sebaliknya menggunakan Mandarin sebagai bahasa pengantar utamanya.
Ujarnya, UEC juga tidak dipantau atau diseragamkan oleh KPM seperti sekolah-sekolah swasta yang lain yang menyukarkan kerajaan untuk mengiktirafnya kerana melanggar Akta 550.
“Apa justifikasi kalau kerajaan nak iktiraf. Jangan kerana hanya mahu meraih laba politik, UEC terus dijadikan modal. Cukup sekadar UEC dilaksana secara bersendirian atas dasar sekadar ada dan tidak diusik pihak lain. Jangan sampai ianya diharamkan terus kalau sudah jadi barah yang merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini,” katanya. – UTUSAN











