PERSOALAN mengenai siapa pihak yang benar-benar mempunyai kuasa memutuskan hala tuju siasatan dan pendakwaan kembali menjadi tumpuan apabila kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus tular baru-baru ini.
Beliau berkata penahanan 202 orang di spa songsang di Chow Kit kononnya adalah ‘case is gone’ (kes tiada) kerana kekurangan bukti untuk meneruskan siasatan di bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan.
Namun di sebalik kenyataan itu, timbul persoalan kritikal. Adakah polis berhak menentukan sesuatu kes itu ‘tiada bukti’ dan siasatan tidak perlu diteruskan? Untuk menjawabnya, kita perlu kembali kepada struktur undang-undang.
Secara asas, kuasa polis terhad kepada melakukan serbuan dan pembukaan siasatan.
Seksyen 3 dan Seksyen 20 Akta Polis 1967 [Akta 344] memberikan kuasa am kepada polis untuk membuka kertas siasatan apabila menerima maklumat mengenai apa-apa kesalahan.
Selaras dengan itu, Seksyen 108 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) mewajibkan polis untuk menyiasat setiap kesalahan boleh tangkap. Pelakuan seks luar tabii di bawah Seksyen 377A adalah antara kesalahan yang disenaraikan sebagai boleh tangkap.
Maka, polis wajib menyiasat apabila terdapat aduan awam atau maklumat mengenai spa songsang tersebut.
Tambahan lagi, polis mempunyai kuasa untuk bertindak tanpa waran bagi mana-mana kesalahan boleh tangkap.
Di bawah Seksyen 21(1) KTJ, polis boleh menahan seseorang tanpa waran jika wujud syak munasabah jika sesuatu kesalahan sedang berlaku. Prosedur juga membolehkan polis memasuki premis dan menyita barang bukti.
Satu lagi persoalan penting dalam kes serbuan spa songsang adalah sama ada polis perlu mendapatkan reman untuk menyiasat semua yang ditahan. Prosedur jenayah menetapkan tidak semua siasatan jenayah memerlukan reman.
Reman hanya relevan dalam beberapa keadaan termasuk apabila polis memerlukan masa tambahan untuk melengkapkan siasatan atau individu yang ditahan perlu terus berada dalam kawalan polis bagitujuan pengesahan identiti, mendapatkan bukti atau mengelak gangguan siasatan.
Namun, tiada apa-apa peruntukan undang-undang yang mewajibkan polis mendapatkan reman sebelum siasatan boleh diteruskan. Jika polis tidak memerlukan tahanan fizikal suspek, mereka boleh dilepaskan dengan jamin polis.
Polis boleh bertindak dengan hanya merekodkan keterangan atau memanggil semula individu terlibat bila perlu. Maka persoalan seterusnya adalah, jika individu terlibat di spa Chow Kit tidak mendapat reman, mengapa siasatan dianggap ‘tidak boleh diteruskan’? Sedangkan undang-undang jelas menetapkan ketiadaan reman tidak menghalang siasatan diteruskan.
Siasatan boleh berjalan seperti biasa melalui panggilan semula, keterangan tambahan, semakan kamera litar tertutup (CCTV), laporan forensik dan sebagainya. Walhal untuk kes serbuan di Seberang Perai, Pulau Pinang, permohonan reman diluluskan Majistret untuk kes serbuan yang hampir sama faktanya. Mengapa wujud dua standard berbeza? Ini menunjukkan isu sebenar bukan soal reman tetapi aliran proses siasatan yang tidak seragam.
Peruntukan bagi permohonan reman jatuh di bawah Seksyen 28 dan 117 KTJ mewajibkan pihak polis untuk segera membawa suspek yang ditahan ke hadapan Majistret dalam tempoh tidak lebih daripada 24 jam.
Selain itu, pihak polis juga perlu dengan segera menghantar salinan catatan harian dan mengemukakan suspek di hadapan Majistret, yang kemudian boleh memberi kuasa untuk menahan orang yang ditangkap itu selama tidak lebih 15 hari. Hak lanjutan penahanan ini berada di bawah kuasa Mahkamah dengan peraturan ketat untuk melindungi hak suspek.
PINDA
Bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang, saya cadangkan dalam kes di mana terdapat penahanan bilangan suspek yang tinggi, undang-undang di bawah KTJ bolehlah dipinda dengan membenarkan proses permohonan reman dibuat dalam tempoh 36 jam dan bukannya 24 jam yang sedia ada.
Kuasa polis pada tahap ini hanya merangkumi serbuan, tangkapan, rampasan dan pembukaan siasatan. Selepas tindakan awal selesai, kertas siasatan mesti dirujuk oleh pihak pegawai penyiasat kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Seksyen 376 KTJ dan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa memulakan atau menghentikan pendakwaan adalah hak mutlak Pendakwa Raya atau Peguam Negara.
KTJ juga secara jelas memperuntukkan TPR berkuasa untuk mengarahkan polis meneruskan siasatan, meminta bukti tambahan, menentukan sama ada siasatan lengkap dan akhirnya menilai sama ada wujud elemen kesalahan yang disiasat.
Ringkasnya, pihak polis tidak mempunyai kuasa memutuskan sesuatu kes ‘tiada bukti’. Hanya TPR boleh menentukan sama ada siasatan perlu diteruskan atau dihentikan. Inilah yang menimbulkan kekeliruan besar dalam kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Kuala Lumpur.
Tambahan lagi, di sinilah fungsi Majistret dalam semak dan imbang sewaktu proses siasatan dijalankan, perlu diperkasakan. Seksyen 399 KTJ memberikan kuasa kepada Majistret untuk meneliti laporan siasatan, meminta penjelasan lanjut, atau mengarahkan siasatan tambahan.
Perihal penguatkuasaan undang-undang seharusnya lebih difahami oleh pihak polis, memandangkan ia sudah pun tegak tersedia untuk jenayah berkaitan seksual dan kemoralan awam.
Jika polis cuba mendahului kuasa Pendakwa Raya, ia bukan sahaja mengelirukan masyarakat sebaliknya bimbang kelak ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.
Apabila pihak yang sepatutnya fokus kepada siasatan awal tampil menentukan sesuatu yang bukan dalam bidang kuasanya, akhirnya tugas sebenar terabai dan kepercayaan awam pula yang tergadai.
Saya berharap sinar 2026 dapat melihat badan penguatkuasa undang-undang lebih bertaring dan berani memartabatkan undang-undang negara.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) & Exco Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat UPR (MACSA).










