MUSIM konvokesyen dianggap detik paling gemilang dalam kitaran pendidikan tinggi. Universiti meraikan graduan yang menamatkan pengajian, ibu bapa penuh bangga, manakala masyarakat menyaksikan pencapaian intelektual generasi baharu.
Namun, di sebalik sorakan dan jambangan bunga, tersembunyi realiti membimbangkan apabila graduan menghadapi cabaran sebenar menempatkan diri dalam pasaran kerja.
Isu utama bukan sekadar pengangguran tetapi ketidaksepadanan pekerjaan dan pekerjaan bawah kelayakan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, hampir 32.2 peratus graduan bekerja di bawah tahap kelayakan. Contohnya, graduan ijazah bekerja dalam sektor separuh mahir atau tidak memerlukan ijazah sama sekali. Ini bermakna satu daripada tiga graduan tidak dapat menggunakan sepenuhnya potensi akademik dan kemahiran mereka.
Purata gaji bulanan graduan ialah RM4,521 tetapi angka ini tidak mencerminkan sepenuhnya kemampuan graduan yang masih belum dimanfaatkan secara optimum.
Dari perspektif pembangunan sosial, keadaan ini membawa kesan lebih luas. Ia bukan sahaja membazirkan sumber manusia dan kewangan tetapi turut menurunkan motivasi, kualiti hidup dan kepercayaan terhadap nilai pendidikan tinggi.
Dalam konteks pembangunan insan, isu ini menonjolkan jurang antara pendidikan formal dengan realiti pasaran kerja. Universiti, majikan dan graduan sendiri perlu memainkan peranan berbeza tetapi saling berkait.
Universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu tetapi institusi pembina insan. Cabaran kini ialah menyeimbangkan antara teori akademik dan kemahiran praktikal. Banyak program pengajian masih kurang pendedahan industri atau modul kemahiran insaniah yang mendalam.
Menurut Graduate Tracer Study 2024, hanya 56 peratus graduan bersedia menghadapi dunia kerja selepas tamat pengajian. Ini menunjukkan perlunya pengalaman sebenar seperti latihan industri, projek komuniti dan modul kepimpinan supaya graduan bukan sekadar berijazah tetapi juga berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran sebenar.
Majikan pula sering menyatakan graduan ‘tidak bersedia bekerja’ atau ‘tidak memenuhi keperluan industri.’ Hakikatnya, mereka juga perlu menyesuaikan diri dengan era pekerjaan moden.
Syarikat tidak boleh sekadar mencari pekerja sempurna pada hari pertama tetapi perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pembelajaran berterusan. Contohnya, Jerman dan Switzerland mengamalkan sistem latihan dual, yang mana pelajar menjalani latihan industri semasa belajar, manakala majikan memainkan peranan dalam proses pendidikan.
Malaysia boleh mengadaptasi pendekatan ini dengan memperluas program perantisan dan memberi insentif kepada syarikat yang melatih graduan muda. Pendekatan ini secara langsung mewujudkan perkongsian pintar dan menekankan kolaborasi strategik bersama pemegang taruh.
Bagi graduan, cabaran utama ialah keupayaan menyesuaikan diri. Dalam era ekonomi digital dan automasi, ijazah semata-mata tidak lagi menjamin kerjaya. Graduan perlu menilai kemahiran sedia ada dan sentiasa memperbaharuinya. Program latihan semula, peningkatan kemahiran dan kemahiran pelbagai kini menjadi keperluan.
Singapura, melalui inisiatif SkillsFuture, memberi kredit pembelajaran kepada rakyat dewasa untuk menambah kemahiran baharu sepanjang hayat. Malaysia pula turut memulakan langkah serupa melalui HRD Corp dan kursus mikro universiti awam, namun penyertaan graduan masih rendah.
Sementara universiti perlu menjadikan latihan kemahiran tambahan sebahagian daripada budaya pembelajaran, bukan aktiviti sampingan.
Kesan pengangguran dan pekerjaan bawah kelayakan bukan sekadar isu ekonomi. Dari perspektif sains sosial boleh menjejaskan struktur sosial dan psikologi masyarakat muda. Ini ekoran tekanan hidup, rasa kecewa dan kurangnya penghargaan menjejaskan kesihatan mental graduan.
Kajian Kementerian Kesihatan (2023) mendapati hampir satu daripada lima belia mengalami simptom tekanan dan keresahan berkait kewangan dan pekerjaan. Ini mengurangkan produktiviti serta keyakinan diri yang menjadi faktor penting dalam pembangunan insan.
Jika graduan tidak memperoleh pekerjaan sesuai dalam tempoh tertentu, mobiliti sosial menurun dan jurang ekonomi semakin melebar, menyebabkan masyarakat berpendidikan tinggi terperangkap dalam kitaran pekerjaan gaji rendah.
Memacu graduan menuju potensi maksimum
Untuk memastikan graduan bukan sekadar pemegang ijazah tetapi benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia kerja memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu. Pembaharuan kurikulum perlu dipandang sebagai strategi pembangunan sosial, merangkumi kemahiran digital, komunikasi, pemikiran kritikal serta kemahiran insaniah.
Pendidikan tinggi harus mengimbangi teori dan praktik bagi memastikan graduan bukan sahaja cerdas akademik malah cekap dalam kemahiran praktikal dan sosial.
Kerajaan dan sektor industri pula perlu memperkukuh dasar latihan berasaskan insentif. Syarikat yang mengambil dan melatih graduan dalam tempoh setahun selepas konvokesyen boleh diberikan potongan cukai, manakala graduan yang ingin meningkatkan kemahiran melalui program latihan semula, peningkatan kemahiran dan kemahiran pelbagai turut layak menerima insentif sama. Pendekatan ini membina ekosistem pembelajaran berterusan, yang mana majikan dan graduan saling menyokong perkembangan profesional masing-masing.
Dalam pada itu. universiti perlu menilai kejayaan graduan secara lebih holistik. Penilaian kemahiran insaniah harus dijalankan dengan jujur menggunakan empati yang sistematik, menggabungkan bukti prestasi dalam kepimpinan, kerjasama dan sumbangan komuniti. Dengan pendekatan ini, potensi graduan dinilai secara menyeluruh, adil dan bermakna.
Pemerkasaan sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi fokus utama pembangunan modal insan. Begitu juga sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang sebelum ini dianggap pilihan kedua, kini berpotensi menjadi peluang berprofil tinggi melalui integrasi teknologi, automasi dan kemahiran khusus.
Menurut laporan TalentCorp dan The Malaysian Insight (2023), pekerja 3D yang terlatih melalui TVET menunjukkan produktiviti lebih tinggi dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, sejajar dengan sasaran negara untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya tarikan pekerjaan, malah menawarkan gaji kompetitif dan sumbangan ekonomi yang signifikan, menjadikan sektor 3D medan strategik bagi pembangunan modal insan serta peluang kerjaya berpendapatan tinggi.
Isu pengangguran dan pekerjaan bawah kelayakan graduan bukan sekadar tentang siapa mendapat pekerjaan tetapi mencerminkan sejauh mana sistem sosial menghargai ilmu, membina potensi manusia dan menyediakan peluang adil untuk semua.
Melahirkan graduan bukan pengakhiran tanggungjawab universiti, sebaliknya permulaan perjalanan pembangunan insan yang sebenar.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Khairunesa Isa ialah Pensyarah Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










