PETALING JAYA: Sebanyak 49 fasiliti kesihatan di tujuh negeri terjejas akibat banjir dengan 19 daripadanya terpaksa ditutup dan operasi dipindahkan ke lokasi lain.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, menurut laporan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan setakat pukul 3 petang semalam, 27 lagi fasiliti kesihatan masih beroperasi dengan penyelarasan, manakala tiga fasiliti di Perlis tidak beroperasi.
“Sebanyak 345 pasukan perubatan dan kesihatan telah digerakkan ke kawasan terjejas bagi memastikan perkhidmatan tidak terganggu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dzulkefly berkata, negeri yang masih dilanda banjir ialah Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Selangor dan Pahang dengan 27,955 mangsa ditempatkan di 222 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat waktu yang sama.
“2,083 mangsa telah menerima rawatan, termasuk 376 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), 92 jangkitan kulit, 15 gastroenteritis akut serta empat kes konjunktivitis.
“Tiada wabak dikesan di mana-mana PPS setakat ini, namun dua kematian berkaitan banjir dilaporkan di Kelantan,” katanya. – UTUSAN










