KULIM: Seorang pelajar sebuah universiti swasta ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama tiga rakannya di kawasan rekreasi Sungai Buluh, Sedim di Karangan, hari ini.
Mangsa, Nor Airil Hazimi Mansur, 21, berasal dari Tanah Merah, Kelantan ditemui lemas kira-kira 12.30 tengahari di kawasan berbatu di Lubuk Jong iaitu kira-kira 800 meter dari tempat mangsa jatuh.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Zulkifli Azizan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 10.15 pagi memaklumkan kejadian lemas membabitkan seorang lelaki.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa bersama tiga rakannya tiba di kawasan rekreasi itu sekitar 8.30 pagi sebelum turun mandi di sungai berkenaan.
“Ketika sedang mandi, rakan mangsa ternampak dia hanyut dibawa arus deras. Mereka cuba menyelamatkannya namun gagal kerana keadaan air yang kuat,” katanya.
Menurut Zulkifli, tiga rakan mangsa yang tidak pandai berenang hanya mampu meminta bantuan orang kampung, namun salah seorang mereka cuba membantu tetapi tidak berjaya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










