SEPANG: Pendakwaan yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo ditangguhkan ke 1 Disember depan.
Difahamkan, bekas EXCO Pemuda UMNO itu terkandas akibat banjir di suatu lokasi dan tidak dapat hadir ke mahkamah sebagaimana dijadualkan.
Wan Muhammad Azri selaku Orang Kena Saman (OKS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), difahamkan bakal berdepan pertuduhan penyebaran kandungan berita palsu melibatkan senarai ahli Parlimen PKR yang didakwa menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.
Pada 2 November lalu, media melaporkan penulis blog itu sekali lagi ditahan polis bagi membantu satu siasatan kes.
Perkara tersebut disahkan peguam, Rafique Rashid Ali yang memaklumkan Papagomo ditahan di hadapan rumahnya.
Sebelum itu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 September lalu memerintahkan Wan Muhammad Azri Wan Deris membela diri atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. – UTUSAN










