Hantaran palsu, Papagomo diperintah bela diri

Hantaran palsu, Papagomo diperintah bela diri

PAPAGOMO ketika hadir Mahkamah Sesyen Sepang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo supaya membela diri atas pertuduhan satu hantaran palsu pada Mei 2025.

Hantaran palsu itu berkaitan 11 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa menarik sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Perdana Menteri dibuat Papagomo pada 28 Mei 2025.

Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Papagomo pada akhir kes pendakwaan.

Menerusi hujah penghakiman, Ahmad Fuda berkata, mahkamah berpuas hati terhadap ketiga-tiga elemen pertuduhan berdasarkan keterangan dan dokumen yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Katanya, beliau turut menolak hujah pembelaan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes hanya kerana memanggil dua saksi, sebaliknya berpandangan bilangan saksi bukan faktor penentu sama ada sesuatu kes berjaya membuktikan prima facie.

Jelasnya lagi, hantaran palsu yang mendakwa 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Anwar bukan sahaja berpotensi mengganggu ketenteraman awam sebaliknya boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Bayangkan kenyataan ini bukan sahaja menimbulkan kegusaran orang ramai malah dalam konteks ini, ia menjejaskan pelabur.Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri,” katanya.

Terdahulu, mahkamah turut menetapkan 1, 2 dan 15 September depan bagi prosiding bela diri manakala, keputusan kes ditetapkan pada 22 Oktober.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Faten Hadni Khairuddin menegaskan bahawa kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak bergantung kepada sama ada orang kena saman (OKS) ialah individu yang mula-mula mencipta kandungan tersebut.

“Tindakan OKS memuat naik kandungan palsu ke akaun Facebooknya sendiri, dengan niat yang dilarang undang-undang, sudah mencukupi untuk memenuhi elemen kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sementara itu, peguam Papagomo, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, tiada bukti kukuh anak guamnya ialah individu yang membuat dan memulakan komunikasi palsu seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Keterangan saksi sendiri menunjukkan mesej itu telah pun tular di WhatsApp, menyebabkan elemen utama pertuduhan tidak dibuktikan dan tertuduh sewajarnya dilepaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, Papagomo membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu menggunakan akaun Facebook “Muhammad Azri” pada 28 Mei 2025, yang mengandungi maklumat palsu berhubung dakwaan 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Anwar, dengan niat menyakitkan hati dan mengganggu orang lain.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 serta boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN