Keputusan rayuan lepas, bebas Papagomo 31 Julai

Keputusan rayuan lepas, bebas Papagomo 31 Julai

WAN MUHAMMAD AZRI WAN DERIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan pendakwaan terhadap keputusan melepaskan dan membebaskan blogger, Papagomo daripada mengeluarkan kenyataan menghasut mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan Barat tiga tahun lalu akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam ketika ditemui media selepas pendengaran rayuan itu di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor.

Pada 3 September 2025, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris tanpa memanggil lelaki itu untuk membela diri daripada pertuduhan tersebut.

Seramai sembilan saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan terhadap Wan Muhammad Azri.

Pada 8 Januari 2024, Papagomo didakwa menyebut kata-kata menghasut di Facebook atas nama Halid Hamidi (Halid Mat Kool) pada pukul 1 petang, 8 November 2023 yang mana kenyataan itu dilihat oleh seorang lelaki berusia 42 tahun di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini.

Ketika berhujah, Mohamad Mustaffa menyatakan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa Papagomo telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan tersebut.

Selain itu, pendakwaan menyatakan pertuduhan terhadap blogger tersebut tidak cacat walaupun pengadu yang juga saksi pendakwaan pertama telah menarik balik laporan polis terhadap Papagomo.

Tambahnya, mahkamah tidak boleh mengenepikan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376(1) Kanun Prosedur Jenayah yang memberikan hak kepada pendakwaan untuk meneruskan pendakwaan ke atas Papagomo.

Pada prosiding hari ini, Mohamad Mustaffa mengendalikan kes itu bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan.

Menurut Mohamad Mustaffa, hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila memberi penekanan terhadap penarikan balik laporan polis sedangkan keterangan pengadu, Hisham Shaharudin tidak pernah dipadamkan atau diketepikan melalui prosiding mencabar kredibiliti saksi.

Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam hujah balasnya menyatakan, pendakwaan gagal membuktikan elemen bahawa kenyataan anak guamnya adalah hasutan di bawah undang-undang.

Peguam itu menegaskan, Mahkamah Sesyen telah membuat keputusan yang betul berdasarkan keterangan saksi serta peruntukan undang-undang semasa yang tidak mewajarkan suatu campur tangan dari mahkamah. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN