SEREMBAN: Masih ramai pengguna khususnya dalam kalangan warga emas masih belum mengetahui kewujudan serta fungsi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) untuk membeli minyak masak bersubsidi.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaa negeri, S.Veerapan berkata, sehubungan itu program advokasi bagi memberi penerangan kepada pengguna mengenai sistem itu giat dilakukan.
Katanya, aplikasi eCOSS dibangunkan bagi membantu pembelian minyak masak bersubsidi secara sistematik sekali gus mengelakkan ketirisan subsidi.
“Melalui pendaftaran eCOSS, hanya warganegara Malaysia sahaja layak membeli minyak masak peket bersubsidi dengan had maksimum tiga pek sehari. Pelaksanaanya memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
“Namun, kami mendapati masih ramai terutama warga emas yang tidak mengetahui tentang aplikasi ini atau tidak mahir menggunakannya,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pelaksanaan sistem berkenaan di sebuah pasar raya di Senawang, di sini, hari ini.
Menurut Veerapan, kesedaran mengenai eCOSS penting kerana sistem berkenaan mampu menyekat pembelian oleh warga asing yang sebelum ini mudah mendapatkan minyak masak bersubsidi.
“Penggunaan eCOSS bukan sahaja meningkatkan ketelusan tetapi secara tidak langsung membantu kerajaan negeri dan Persekutuan memantau penagihan minyak masak bersubsidi dengan lebih berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pengguna yang tidak memiliki aplikasi tersebut, termasuk warga emas, masih dibenarkan membuat pembelian dengan mengisi buku rekod secara manual yang disediakan di premis. – UTUSAN










