KUALA LUMPUR: Seramai 5.26 juta rakyat Malaysia telah berdaftar menggunakan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) setakat 3 Julai lalu, dengan purata 18 juta transaksi pembelian minyak masak peket bersubsidi direkodkan setiap bulan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, ia sekali gus menunjukkan keberkesanan sistem tersebut dalam memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar.
“Ada dua indikator yang kita gunakan bagi mengukur keberkesanan. Pertama ialah keberadaan bekalan minyak masak peket di pasaran dan indikator yang kedua ialah bagaimana kita memastikan warga asing tidak mendapat akses kepada minyak masak bersubsidi tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta kementerian menyatakan keberkesanan pelaksanaan aplikasi Mobile eCOSS sejak Mei 2025 dalam mengekang ketirisan minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram di peringkat runcit.
Katanya lagi, Johor yang menjadi antara negeri perintis penggunaan eCOSS menunjukkan impak memberangsangkan apabila daripada keseluruhan populasi 4.19 juta penduduk seramai 580,000 pengguna telah memuat turun aplikasi berkenaan.
Katanya, daripada 2,822 peruncit berdaftar di negeri itu, sebanyak 1,093 peruncit kini menggunakan E-COSS dalam urusan penjualan minyak masak peket bersubsidi.
“Apabila kita melihat kepada indikator pertama iaitu keberadaan bekalan minyak masak peket di pasaran, jumlah aduan di Johor menurun dengan ketara daripada sembilan aduan pada Jun 2025 kepada hanya dua aduan pada Jun 2026.
“Pada masa sama, jumlah pembelian minyak masak peket turut meningkat dengan ketara apabila jualan melonjak daripada 1.33 juta paket pada Jun 2025 kepada 1.96 juta peket pada Jun 2026 selepas pelaksanaan Mobile E-COSS,” katanya. – UTUSAN










