KUALA LUMPUR: Warga asing dilarang untuk membeli minyak masak peket bersubsidi yang berharga RM2.50 bermula 1 Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, perkara itu selaras pewartaan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh bukan warganegara melalui penggubalan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan di bawah Seksyen 6
Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Langkah ini seiring dengan penggunaan aplikasi mobile eCOSS yang membolehkan setiap pembelian minyak masak paket bersubsidi direkodkan hingga ke pengguna akhir menggunakan kod QR dan butiran kad pengenalan.
“Dengan eCOSS, hanya warganegara dibenarkan membuat pembelian. Sebelum ini terdapat gesaan untuk melarang warga asing membeli, namun mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan menjadi cabaran,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkenaan keberkesanan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dalam pengagihan minyak masak paket bersubsidi kepada warga emas dan orang miskin di luar bandar tanpa kemudahan internet, serta langkah memastikan tiada isi rumah tercicir akibat pelaksanaan aplikasi tersebut.
Beliau berkata, eCOSS direka untuk merekodkan semua transaksi jual beli di seluruh rantaian pengedaran termasuk kilang penapis, syarikat pembungkusan, pemborong, dan peruncit, bagi memastikan subsidi dimanfaatkan sepenuhnya serta mengekang penyelewengan dan penyeludupan.
Katanya, sejak fasa pertama bermula 1 Januari 2023, semua syarikat terlibat diwajibkan merekodkan transaksi dalam sistem eCOSS sebagai syarat tuntutan bayaran balik subsidi, manakala pemborong dan peruncit juga perlu mendaftar bekalan melalui sistem tersebut.
“Bagi fasa kedua, penggunaan aplikasi mobile eCOSS diperluaskan sejak Mei 2025 bagi merekodkan pembelian di peringkat pengguna, namun pembelian manual masih dibenarkan di kawasan luar bandar atau premis tanpa capaian internet, dengan sokongan peruncit disediakan,” katanya.
Menurutnya,eCOSS akan diintegrasikan dengan platform MyKasih untuk membolehkan warga emas dan golongan miskin yang tiada telefon pintar membuat pembelian menggunakan kad pengenalan, sekali gus memastikan subsidi minyak masak paket benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat. – UTUSAN










