'Tiada lagi aduan minyak masak peket bersubsidi tidak mencukupi'

‘Tiada lagi aduan minyak masak peket bersubsidi tidak mencukupi’

FUZIAH Salleh meninjau pelaksanaan eCOSS di Pasaraya Maslee B5, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan program agihan minyak masak bersubsidi yang diperkasa melalui aplikasi digital eCOSS menunjukkan keberkesanan setelah tiada aduan bekalan minyak masak peket bersubsidi tidak mencukupi di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, langkah pengenalan aplikasi digital sejak 1 April lalu turut membantu mengatasi isu ketirisan bekalan minyak masak tersebut kepada warga asing.

Katanya, sehingga kini, seramai lebih tiga juta pengguna telah memuat turun eCOSS bagi membolehkan mereka membeli minyak masak peket satu kilogram itu.

“Alhamdulillah, kita lihat bahawa dengan adanya eCOSS ini, bekalan minyak masak bersubsidi ini sampai kepada pengguna.

“Tidak ada lagi aduan berkenaan dengan ketirisan minyak masak peket, ini menunjukkan bahawa kita kekang daripada pengguna yang bukan warganegara untuk membelinya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan eCOSS di Pasaraya Maslee B5, di sini hari ini.

Fuziah berkata, pelaksanaan sistem tersebut membolehkan pihak kementerian memantau pengedaran minyak masak peket bersubsidi itu sekali gus memastikan ketersediaan bekalan sentiasa mencukupi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN