PBB lancar kempen imunisasi untuk 44,000 kanak-kanak di Gaza - Utusan Malaysia

PBB lancar kempen imunisasi untuk 44,000 kanak-kanak di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu mengumumkan pelancaran kempen “catch-up” bersepadu bagi imunisasi rutin, pemantauan nutrisi dan pertumbuhan di Gaza, menyasarkan 44,000 kanak-kanak yang terputus daripada perkhidmatan penting akibat perang.

Jurucakap PBB, Farhan Haq berkata kempen itu dijalankan oleh UNICEF, UNRWA dan WHO bersama Kementerian Kesihatan Gaza, dengan kerjasama rakan strategik bagi memastikan kanak-kanak menerima vaksinasi dan pemantauan nutrisi yang diperlukan.

Beliau menjelaskan setiap kanak-kanak akan menerima tiga dos vaksin pentavalen, polio, rota dan pneumococcal konjugat, serta dua dos vaksin campak, gondok dan rubela.

Pusingan pertama daripada tiga pusingan yang dirancang akan bermula pada Ahad ini dan berlangsung selama 10 hari.

Vaksinasi dijalankan di hampir 150 fasiliti kesihatan dan 10 klinik bergerak di seluruh Gaza. Semua vaksin, jarum, peralatan rantaian sejuk serta bekalan pemakanan telah dihantar ke Gaza dan lebih 450 petugas kesihatan serta hampir 150 doktor telah dilatih untuk kempen tersebut.

Haq menekankan kejayaan kempen bergantung kepada pematuhan penuh gencatan senjata supaya keluarga, petugas kesihatan dan pekerja kemanusiaan lain dapat mencapai pusat vaksinasi dengan selamat dan bebas.

Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun usaha kemanusiaan sedang dipertingkatkan, banyak lagi keperluan perlu dipenuhi, dengan laluan sempit, jalan sesak dan sekatan lain masih menyukarkan operasi bantuan.

Kempen ini merupakan usaha penting PBB untuk memastikan kanak-kanak di Gaza menerima perkhidmatan kesihatan asas, yang kini terganggu akibat konflik berterusan, selain mengurangkan risiko penyakit berjangkit dan malnutrisi dalam kalangan populasi terdedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×