SUBANG: Pusat Latihan Pengaman di Port Dickson terus beroperasi walaupun misi terakhir Malaysian Battalion (MALBATT) 850-13 ke Lubnan telah berlepas hari ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, pusat berkenaan bukan sahaja melatih anggota sebelum berlepas ke Lubnan, tetapi turut menjalankan pelbagai kursus berkaitan operasi keamanan antarabangsa.
Beliau menjelaskan, pusat latihan itu kini diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas beberapa tahun menjalankan latihan bertaraf antarabangsa di bawah seliaan Markas Angkatan Bersama.
“Pusat latihan ini bukan hanya melatih kontinjen pengaman, tetapi juga menjadi hab latihan pelbagai kursus berkaitan kemanusiaan, logistik serta keselamatan antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penghantaran MALBATT 850-13 di Pangkalan Udara Subang, di sini hari ini.
Mohd. Nizam berkata, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan Malaysia sebagai antara negara yang komited mengekalkan keamanan global dan bersedia menghadapi misi baharu di bawah panji PBB.
Seramai 532 anggota ATM berlepas ke Lubnan bagi melengkapkan misi terakhir MALBATT 850-13 di bawah panji PBB dengan penyertaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Mohd. Nizam berkata, misi kali ini turut disertai 55 anggota wanita daripada keseluruhan kontinjen dan jumlah kekuatan lebih kecil berbanding penugasan sebelumnya.
“Insya Allah bermula pada pertengahan tahun hadapan kita akan membawa pulang beberapa peralatan milik kita dan selebihnya akan kita tinggalkan di sana untuk mereka gunakan. Selain itu, kita akan meneruskan untuk melatih tentera Lebanon sebagai tanda usaha kerjasama berterusan,” katanya.
Menurut beliau, penghantaran ini menandakan berakhirnya penyertaan Malaysia dalam Misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) selepas hampir dua dekad berada di bumi Lubnan sejak tahun 2007 hingga kini.
Katanya, keputusan menamatkan penyertaan dibuat selepas kerajaan menilai keperluan semasa.
“Malaysia kekal komited kepada keamanan sejagat. Kita akan terus menyalurkan kepakaran ketenteraan melalui latihan dan bimbingan kepada rakan antarabangsa,” jelasnya.
Mohd. Nizam menegaskan, selepas 13 siri penugasan, Malaysia perlu berbangga kerana reputasi MALBATT diiktiraf dunia, bukan hanya dari segi kekuatan ketenteraan tetapi juga diplomasi pertahanan.
“Saya berharap kontinjen terakhir itu mengekalkan disiplin dan semangat juang tinggi serta pulang dengan selamat membawa nama Malaysia dan Brunei dengan penuh kebanggaan,” katanya. – UTUSAN










