KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan Sukan SEA Thailand hujung tahun ini tidak boleh dijadikan kayu ukur sebenar kemampuan skuad negara menghadapi Piala Thomas 2026.
Katanya, tahap saingan di Sukan SEA terlalu jauh berbeza dengan kejohanan berpasukan paling berprestij itu, justeru tumpuan utama kini lebih kepada memupuk semangat berpasukan dalam kalangan pemain.
“Sukan SEA bukanlah ukuran sebenar kekuatan kita kerana taraf persaingan masih jauh dengan Piala Thomas. Saya tidak melihatnya sebagai satu gambaran untuk kejayaan di peringkat dunia.
“Namun, Sukan SEA boleh menjadi medan penting untuk membina semangat berpasukan dan kesefahaman antara pemain. Di situ kita boleh lihat bagaimana mereka saling menyokong dan bekerja sebagai satu unit,” katanya selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara, kelmarin.
Malaysia akan menurunkan barisan terkuat dalam acara berpasukan lelaki, diketuai beregu utama dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Chen Tang Jie dan Hoo Pang Ron.
Empat perseorangan lelaki yang turut disenaraikan ialah Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe serta pemain profesional, Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Bagi pasukan wanita, gandingan beregu Pearly Tan-M. Thinaah dan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing akan mengetuai cabaran bersama Toh Ee Wei dan Cheng Su Yin, manakala perseorangan dibarisi K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Muhammad Azmi dan Eng Ler Qi.
Menurut Rexy, Sukan SEA lebih kepada proses pembentukan karakter dan semangat berpasukan sebelum Malaysia melangkah ke fasa persiapan serius menuju Piala Thomas di Horsens, Denmark pada April tahun depan.
“Ini masa untuk lihat bagaimana pemain menyesuaikan diri dengan tekanan berpasukan dan membawa semangat yang sama nanti di Piala Thomas. Semangat itu yang kita mahu bentuk,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau mahu kejayaan beregu lelaki dijadikan inspirasi kepada pemain perseorangan untuk terus memperbaiki prestasi dan menunjukkan kematangan di pentas antarabangsa. – UTUSAN










