WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melabel Presiden Colombia, Gustavo Petro, sebagai ‘ketua dadah’ dan mengumumkan penamatan semua bentuk pembayaran serta subsidi besar-besaran daripada Washington kepada negara Amerika Selatan itu.
Dalam satu hantaran di platform media sosial Truth Social, Trump mendakwa pengeluaran dadah di Colombia bertujuan membanjiri pasaran AS dengan ‘jumlah besar produk’ yang menurutnya membawa kepada ‘kematian, kemusnahan dan kekacauan’.
Setakat ini, Kedutaan Colombia di Washington masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap tuduhan tersebut.
Hubungan diplomatik antara Washington dan Bogota semakin meruncing sejak Trump kembali menduduki semula White House.
Pada bulan lalu, AS membatalkan visa Petro selepas beliau menyertai perhimpunan pro-Palestin di New York dan menggesa anggota tentera AS supaya tidak mematuhi arahan Trump.
Tahun lalu, Petro berikrar untuk melaksanakan langkah sosial dan ketenteraan berskala besar bagi mengawal kawasan penanaman coca iaitu tumbuhan yang menjadi bahan asas kokain di Colombia.
Namun begitu, usaha tersebut masih belum membuahkan hasil yang ketara.
Pada September lalu, Trump turut menamakan beberapa negara termasuk Afghanistan, Bolivia, Myanmar, Colombia dan Venezuela sebagai negara yang “gagal secara nyata” dalam mematuhi perjanjian antarabangsa bagi membanteras pengedaran dadah.
Beliau turut menyalahkan kepimpinan politik Colombia atas kegagalan negara itu mengawal pengeluaran dan penyeludupan dadah secara berkesan.
“Gustavo Petro ialah seorang ketua dadah haram yang secara aktif menggalakkan pengeluaran dadah berskala besar,” tegas Trump sambil menyifatkan bantuan kewangan dan subsidi AS kepada Colombia sebagai “penipuan besar”.
“BERKUAT KUASA SERTA-MERTA, SEMUA PEMBAYARAN – SAMA ADA TUNAI ATAU SUBSIDI – DITAMATKAN,” katanya dalam kenyataan tersebut, namun tidak menjelaskan secara terperinci bentuk bantuan yang dihentikan itu.










