MUKADIMAH
BELANJAWAN 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM580 juta bagi pembangunan sukan termasuk pemerkasaan atlet para.
Namun, bagi Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, angka itu bukan soal besar,yang lebih penting ialah hala tuju dan keberkesanan pengagihan dana.
Tahun ini, MPM hanya diperuntukkan RM12 juta, namun beliau berpendapat jumlah itu perlu digandakan kepada sekurang-kurangnya RM25 juta bagi memastikan kesinambungan pembangunan akar umbi dan persediaan rapi menjelang Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2027.
Dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Mingguan Malaysia, Khairul Idham Mohamed Zaraai, Megat menegaskan bahawa masa depan sukan para negara bergantung pada dua perkara iaitu bajet yang mencukupi dan pengurusan yang lebih efisien di peringkat akar umbi.
Datuk Seri, apa reaksi awal terhadap Belanjawan 2026 yang diumumkan kelmarin?
MEGAT: Pertama sekali saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan terhadap sukan para. Cuma saya harap bajet kali ini benar-benar menyentuh akar umbi, kerana dari situ lahirnya pelapis baharu yang akan menggantikan atlet yang sudah come of age.
Jadi fokus utama Datuk Seri ialah pembangunan akar umbi?
MEGAT: Betul. Kita perlu tambah pelaburan untuk program akar umbi dan pencarian bakat. Atlet pelapis inilah yang akan jadi sandaran kita nanti. Pada masa sama, dana untuk persatuan para kebangsaan juga perlu diperkukuh bagi membawa pasukan ke kejohanan antarabangsa.
Tahun lepas, atlet para menerima peruntukan RM12 juta. Tahun ini berapa jumlah yang Datuk Seri harapkan?
MEGAT: Kalau boleh saya mahu bajet itu digandakan kepada RM25 juta. Sekarang kita hanya ada 83 atlet dalam program podium, sedangkan atlet able-bodied ada lebih 300 orang. Kalau bajet naik, kita boleh tambah jumlah atlet para kepada sekurang-kurangnya 150 orang dan ambil jurulatih bertaraf antarabangsa.
Maksudnya Datuk Seri mahu dana diagih secara lebih meluas, bukan tertumpu pada podium semata-mata?
MEGAT: Tepat sekali. Saya tidak mahu semua bajet itu terhenti di peringkat MSN atau agensi. Dana pembangunan akar umbi sepatutnya disalurkan terus kepada persatuan para kebangsaan supaya mereka boleh bergerak cepat tanpa birokrasi.
Selain bajet dan pelapis, apakah isu lain yang perlu diberi perhatian segera?
MEGAT: Sukan berpasukan perlu diperkasakan. Sekarang banyak tumpuan diberi pada sukan individu, sedangkan sukan seperti CP Football, Goalball dan Sitting Volleyball juga ada potensi besar. Kalau nak jadi juara keseluruhan Sukan Para ASEAN Para 2027 nanti, kita tak boleh abaikan sukan berpasukan.
Adakah Datuk Seri melihat Belanjawan 2026 ini cukup positif untuk masa depan atlet para?
MEGAT: Arah tuju sudah betul, cuma pelaksanaan mesti lebih tegas. Kalau bajet besar tapi sampai lewat, kesannya sama juga. Saya nak lihat hasil, bukan sekadar angka atas kertas. Atlet para Malaysia dah buktikan mereka mampu harumkan nama negara, jadi hargai mereka dengan tindakan, bukan janji.
Harapan terakhir Datuk Seri menjelang Kuala Lumpur 2027 untuk Sukan Para ASEAN?
MEGAT: Kita mahu tampil sebagai tuan rumah yang bukan sahaja menang, tapi dihormati kerana sistem pembangunan yang mantap. Kalau kerajaan benar-benar gandakan bajet, saya percaya 2027 akan jadi pentas kebangkitan besar sukan para Malaysia. – UTUSAN










