PARLIMEN: Hampir RM400 juta belanja rawatan akibat vape menjelang 2030

PARLIMEN: Hampir RM400 juta belanja rawatan akibat vape menjelang 2030

vape
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan antara RM300 juta hingga RM400 juta terpaksa dibelanjakan menjelang 2030 bagi merawat penyakit EVALI (E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury) yang berpunca daripada penggunaan rokok elektronik termasuk vape.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, setakat ini kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM244.8 juta untuk merawat penyakit sama, berdasarkan dapatan Analisis Kesan Peraturan (RIA) yang dilaksanakan KKM sebelum ini.

“Jika trend penggunaan vape ini berterusan, kita dijangka perlu menanggung kos rawatan yang jauh lebih besar, dianggarkan mencecah antara RM300 juta hingga RM400 juta menjelang 2030.

“Disebabkan itu, bagi mengelak pembaziran akibat penyakit berkaitan vape, KKM akan mengemukakan Memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet bagi mempertimbangkan langkah pengharaman sepenuhnya penggunaan vape serta dasar pelaksanaannya,” katanya ketika sesi sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN–Tanjong Karang) yang meminta penjelasan mengenai sebab kelewatan KKM sebagai agensi utama kesihatan awam dalam melaksanakan pengharaman penuh terhadap rokok elektronik di negara ini.

EVALI merupakan penyakit kecederaan paru-paru yang disebabkan oleh penggunaan rokok elektronik atau produk vape.

Antara gejalanya termasuk batuk, sesak nafas, demam dan sakit dada yang berlaku apabila bahan kimia dalam cecair vape dipanaskan dan menghasilkan sebatian berbahaya yang merosakkan lapisan paru-paru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×