DALAM kepelbagaian warisan budaya masyarakat Cina di Malaysia, wujud satu tradisi yang mungkin tidak sepopular Tahun Baharu Cina atau Chap Goh Mei.
Bagaimanapun, ia tetap mengandungi makna spiritual, sejarah dan nilai sosial yang amat mendalam.
Tradisi perayaan Dewa Dapur dan ritual membuat kuih bakul merupakan cerminan hubungan antara komuniti Cina dengan ruang domestik, roh nenek moyang dan kekuasaan langit yang dipercayai memerhati dari atas.
Seperti banyak amalan budaya yang datang dari tanah besar China, tradisi ini mengalami penyesuaian apabila dibawa ke Malaya (Tanah Melayu) oleh generasi awal imigran Cina. Apa yang menarik, ia masih dihayati komuniti Cina, khususnya Hokkien, Teochew dan Hakka.
Perayaan khas bagi Dewa Dapur yang dinamakan Zao Shen, Zao Jun dan Cao Kung Kong berlaku seminggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina. Ia menandakan penghormatan kepada dewa yang dipercayai mengawal dapur dan kesejahteraan isi rumah.
Dalam tradisi lama, Dewa Dapur dikatakan mencatat segala perlakuan penghuni rumah sepanjang tahun dan naik ke langit untuk melaporkan semuanya kepada Maharaja Jade yang juga dikenali dengan nama Yu Huang Da Di, Tiongong, Thnee Kong dan Huang Shangdi.
Maka, perayaan kuih bakul dalam tradisi Cina berperanan sebagai ‘upacara tutup akaun’ spiritual bagi tahun berkenaan. Ahli keluarga membersihkan dapur, membakar kertas sembahyang serta menghidangkan makanan manis seperti kuih bakul dan madu asli dengan niat ‘memikat’ atau sekurang-kurangnya ‘membasuh mulut’ Dewa Dapur agar tidak melaporkan perkara buruk tentang keluarga itu kepada Maharaja Jade.
Berdasarkan pembacaan saya sejak kecil, novel kanak-kanak berjudul Dragonwings (1975) oleh Laurence Yep ada menyebut sedikit tentang Dewa Dapur.
Novel The Kitchen God’s Wife (1991) oleh Amy Tan pula menyentuh kisah sama tetapi dari sudut feminis.
Buku The Kitchen God and His Wives (2025) merupakan terjemahan epik Guo Dingxiang oleh Wilt Lukas Idema, pensyarah dan pakar pengkaji sastera China di Universiti Leiden dan Universiti Harvard.
Ia menceritakan asal usul Dewa Dapur berserta kajian moden, khususnya susulan Revolusi Kebudayaan di China (1966-1976).
Pada pemerhatian saya, di sinilah terletak keunikan falsafah budaya Cina yang tidak memisahkan dunia nyata dan dewa-dewi, malah cuba mengaburkan sempadan antara kedua-duanya.
Kepercayaan kepada Dewa Dapur bukan sekadar soal spiritual orang Cina, sebaliknya menyatakan falsafah betapa penting dapur sebagai pusat rumah, tempat berkumpul, tempat menyediakan makanan serta tempat di mana kasih sayang dikongsi dalam bentuk masakan.
Dapur bukan hanya fizikal tetapi diberi penghormatan sebagai pusat harmoni dalam rumah tangga.
Ritual pemujaan dan penghantaran Dewa Dapur berlaku pada 23 hari bulan dalam bulan terakhir kalendar lunar Cina. Maka, tempoh seminggu selepas itu digunakan untuk melakukan refleksi diri, membersihkan rumah dan persiapan menyambut tahun baharu.
Harus diingat dalam mitos, tradisi dan kepercayaan komuniti Cina, Dewa Dapur akan datang semula ke rumah berkenaan pada hari keempat Tahun Baharu Cina untuk meneruskan tugas membuat catatan selama setahun lagi.
Berdasarkan laporan Dewa Dapur kepada Maharaja Jade, ketua rumah boleh dikurangkan sehingga 300 hari daripada tempoh hayatnya.
Menurut kepercayaan di Tanah Besar China, Dewa Dapur menghuni ruang dapur rumah dan menyaksikan segala perbuatan para penghuni, termasuk ucapan buruk, perbuatan jahat, luahan rasa kasih dan perselisihan faham.
Seminggu sebelum Tahun Baharu Cina, Dewa Dapur naik ke langit untuk melaporkan kepada Maharaja Jade tentang kebaikan dan keburukan di rumah itu.
Maka, sebagai langkah terakhir, penghuni rumah membuat upacara sembahyang khas dan mempersembahkan tiga biji kuih bakul kepada dewa berkenaan.
Tindakan itu diharap dapat membantu menyejukkan hati Dewa Dapur sebelum pergi bertemu Maharaja Jade. Malah, secara penuh licik, kuih bakul yang kenyal dan melekat-lekat diharap akan membuatkan mulut Dewa Dapur terkunci dan sukar menyampaikan laporan panjang-lebar kepada ketuanya.
Pada 1970-an dan 1980-an, kuih bakul beralaskan daun pisang hanya dijual menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. Pada masa kini, ia boleh dibeli sepanjang tahun dalam bekas plastik sehingga keunikan dan kisah menarik di sebalik tradisi itu sudah jarang diperkatakan.
Nama kuih bakul dalam bahasa Cina ialah nian gao atau juga disebut thnee kuih. Kini, ia lebih dikenali dengan nama Inggeris iaitu sticky sweet glutinous rice cake.
Kuih tradisional ini diperbuat daripada tepung pulut yang ditumbuk atau dikisar halus, dicampur gula atau madu, kemudian dikukus hingga kenyal dan melekit.
Sesungguhnya, proses membuat kuih bakul bukanlah tugas mudah. Beras pulut perlu dibasuh berulang kali, biasanya direndam semalaman, akhirnya dikukus lama agar adunan menjadi padat dan kenyal.
Perlu difahami secara tradisi, kuih bakul dihasilkan khusus untuk dipersembahkan kepada Dewa Dapur. Memandangkan dewa ini menghuni ruang dapur dan tempat memasak itu sendiri, maka kedua-duanya dibersihkan menjelang tarikh dewa itu pergi bertemu Maharaja Jade.
TETAP HORMAT WALAUMUNGKIN DONGENG
Generasi muda kaum Cina mungkin sudah tidak lagi mengamalkan secara tegar budaya mempersembahkan kuih bakul kepada Dewa Dapur. Malah, mereka juga mungkin menganggap kisah Dewa Dapur dan Maharaja Jade sebagai cerita dongeng dan kisah kuno tidak berasas.
Walau bagaimanapun, falsafah dan pengajaran di sebalik upacara khas meraikan Dewa Dapur tidak boleh dinafikan. Menjelang mana-mana perayaan, kita memang biasa membersihkan rumah, mengecat dinding, menggantung hiasan dan membeli perabot baharu.
Konsep inilah juga dapat dilihat pada kisah Dewa Dapur. Memandangkan dapur merupakan ‘jantung’ kepada kesejahteraan keluarga, maka wajarlah kebersihan, keselesaan dan keceriaan dapur diberi perhatian.
Maka, walaupun kisah Dewa Dapur mungkin hanya dongeng dan rekaan, kita wajar menghayati falsafah di sebaliknya.
Kita juga perlu menghormati tradisi dan budaya kaum Cina yang masih mengamalkannya. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










