LONDON: Eropah kini berdepan kehilangan kawasan hijau yang menjadi habitat hidupan liar, penyerap karbon dan sumber makanan pada keluasan kira-kira 600 padang bola sepak setiap hari, menurut siasatan yang dijalankan oleh The Guardian bersama rakan media lain.
Analisis imej satelit di seluruh United Kingdom (UK) dan tanah besar Eropah dalam tempoh lima tahun mendedahkan betapa pantas tanah hijau bertukar menjadi kawasan berturap untuk jalan raya, bangunan perumahan, serta padang golf mewah.
Jika sebelum ini kehilangan hutan Amazon dipantau dengan satelit dan pemantauan darat, skala kemusnahan tanah hijau di Eropah tidak pernah direkodkan sedemikian rupa sehinggalah kini melalui projek khas Green to Grey yang dijalankan bersama saintis dari Institut Kajian Alam Semula Jadi Norway (Nina).
Projek rentas sempadan yang turut melibatkan Arena for Journalism in Europe, penyiar Norway NRK dan 11 organisasi media lain, mendapati Eropah kehilangan kira-kira 1,500 kilometer persegi (km) tanah setahun akibat pembangunan.
Data menunjukkan antara 2018 hingga 2023, lebih 9,000 km tanah atau bersamaan keluasan Cyprus telah bertukar daripada hijau menjadi kelabu. Ini bersamaan dengan hampir 30 km setiap minggu, atau 600 padang bola sepak setiap hari.
Majoriti kerugian membabitkan kawasan semula jadi iaitu sekitar 900km setahun, manakala tanah pertanian pula semakin pupus pada kadar 600km setahun, menimbulkan kebimbangan besar terhadap keselamatan makanan dan kesihatan benua itu.
“Tanah yang hilang akibat pembangunan adalah antara punca utama kepupusan kawasan semula jadi dan penurunan biodiversiti.
“Lebih membimbangkan, kita juga kehilangan tanah pertanian yang produktif apabila bandar terus berkembang,” kata Profesor Steve Carver dari University of Leeds.
Antara pembangunan paling kerap direkodkan ialah perumahan dan jalan raya yang merangkumi satu per empat daripada kes. Namun, banyak juga tanah semula jadi dan pertanian dimusnahkan demi memenuhi gaya hidup mewah, pelancongan, industri serta keperluan konsumerisme.
Sebagai contoh, di Portugal, hampir 300 hektar bukit pasir dilindungi di Pantai Galé berhampiran Melides telah dimusnahkan untuk membina padang golf baharu di CostaTerra Golf and Ocean Club, di mana kediaman dijual sekitar 5.6 juta pound (RM31.73 juta) seunit. – AGENSI










