DOHA: Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani pada Selasa menegaskan terdapat beberapa perkara dalam pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menamatkan perang Israel di Gaza yang memerlukan penjelasan dan rundingan.
“Kami telah menyerahkan pelan Trump kepada delegasi perunding Hamas semalam (Isnin), dan perbincangan bersama mereka masih bersifat umum,” katanya kepada Al Jazeera.
“Kami berharap semua pihak menilai pelan ini secara konstruktif dan mengambil peluang untuk menamatkan perang,” tambah beliau.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel dengan sokongan AS didakwa melakukan genosid di Gaza, menurut Palestin dan Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengorbankan 66,097 nyawa dan mencederakan 168,536 orang dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Krisis kebuluran turut meragut 453 nyawa, termasuk 150 kanak-kanak. Lebih 90 peratus kediaman di Gaza dilaporkan musnah atau rosak.
Sheikh Mohammed menjelaskan bahawa sehingga kini pihaknya masih menunggu maklum balas Hamas terhadap pelan tersebut, yang memerlukan persetujuan bersama semua puak Palestin.
Beliau menekankan bahawa pelan itu menepati matlamat utama dengan menamatkan perang namun terdapat isu yang perlu diperincikan.
“Penamatan perang adalah perkara jelas dalam pelan ini, tetapi persoalan mengenai pengunduran tentera Israel dari Gaza memerlukan penjelasan lanjut dan mesti dibincangkan,” katanya lagi. -AGENSI










