Palace layak menang, Slot berang

Palace layak menang, Slot berang

Penyerang Crystal Palace, Eddie Nketiah merembat bola ke gawang Liverpool untuk gol kemenangan pasukannya dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Selhurst Park, London, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui Crystal Palace layak menang 2-1 ke atas The Reds sekali gus menamatkan rekod bersih juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, semalam.

Musim baharu ini, menyaksikan Liverpool bermula sempurna dengan memenangi tujuh perlawanan dalam semua kejohanan iaitu EPL, Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala Liga sejak tewas menerusi penentuan penalti kepada Palace pada aksi Perisai Komuniti bulan lalu.

Liverpool dengan wajah baharu selepas berbelanja hampir RM2.8 bilion di pasaran perpindahan, sering terlepas peluang dan diselamatkan dengan gol-gol pada lewat permainan.

Pada aksi itu, Ismaila Sarr membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan buat tuan rumah dan mereka sepatutnya mendahului babak pertama dengan selesa, namun aksi cemerlang Alisson Becker menghalang gawang The Reds dibolosi lebih banyak gol.

Gol penyamaan Federico Chiesa lewat permainan seperti memberi harapan untuk pelawat meraih satu mata, namun jaringan Eddie Nketiah pada masa kecederaan menghampakan Liverpool.

“Jika ada pasukan yang layak menang hari ini, ia adalah Palace. Pujian buat Palace dengan Perisai Komuniti sebelum ini, ini bukan kali pertama kami tewas kepada mereka.

“Mereka sepatutnya mendahului dua atau tiga gol di babak pertama tetapi kami bernasib baik kerana Alisson beraksi cemerlang,” kata Slot.

Slot juga berang dengan cara anak buahnya bertahan ketika Palace menjaringkan gol kemenangan apabila Jeremie Frimpong membiarkan Nketiah bergerak bebas.

Palace kini menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam EPL musim ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×