Tiga pelajar terpilih sebagai Pelajar Angkat UKM

Tiga pelajar terpilih sebagai Pelajar Angkat UKM

SUFIAN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) julung-julung kali melaksanakan program Pelajar Angkat UKM dengan memilih tiga pelajar baharu untuk menerima pembiayaan penuh sepanjang pengajian mereka.

Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, inisiatif itu diwujudkan bagi memastikan pelajar berpotensi tinggi tetapi kurang berkemampuan tidak tercicir daripada peluang pendidikan tinggi.

Katanya, pemilihan dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk status anak yatim, berasal daripada keluarga B40, pencapaian akademik cemerlang serta memiliki daya ketabahan tinggi dengan masa depan yang cerah.

“Pelajar berkenaan akan menerima pembiayaan penuh meliputi yuran pengajian, kemudahan asrama serta perbelanjaan sara diri sehingga tamat pengajian di universiti itu.

“Dengan pembiayaan ini, mereka tidak perlu lagi risau soal kewangan sebaliknya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya pada sidang media pendaftaran pelajar baharu UKM di Kampus Ceras, hari ini.

Pelajar berkenaan ialah Muhammad Ahnaf dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Siti Nordahliah (Fakulti Sains dan Teknologi dalam bidang Sains Aktuari) dan Muhammad Hazwan Harith (Fakulti Sains dan Teknologi).

Sufian berkata, UKM mahu menjadi pelopor dalam melaksanakan program seumpama itu agar universiti lain turut mencontohi pendekatan membantu golongan kurang bernasib baik tetapi mempunyai potensi akademik tinggi.

Katanya, sebagai universiti watan, institusi berkenaan sentiasa mempertahankan tanggungjawab sosial dengan membantu pelajar yang layak.

“Kita mahu pastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Program berkenaan akan diteruskan pada sesi akan datang sebagai simbol komitmen universiti melahirkan graduan holistik yang mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×