PETALING JAYA: Pelawak Shahrol Shiro dilantik sebagai pengajar sambilan Kursus Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Kelas Seni Lakon yang memberi tumpuan kepada bidang komedi secara langsung.
Pusat Komunikasi Korporat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pelantikan itu membabitkan Shahrol Shiro atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC).
“Menerusi pelantikan berkenaan, Shahrol hanya memberikan latihan amali dan praktikal tanpa melibatkan pengajaran di dalam kuliah.
“Pelantikan ini juga adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai pengamal industri seni yang mempunyai penglibatan dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kursus Citra UKM (Seni Lakon) merupakan kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar universiti berkenaan.
Program itu bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pelajar dalam bidang seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan dan persembahan.
FPSC merupakan fakulti yang mengkhususkan kepada pengajian bersifat transdisiplin meliputi pengajian umum termasuk kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform.- UTUSAN










