MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin didakwa sedang membina simpanan strategik askar baharu sebagai persediaan kemungkinan konflik langsung dengan pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), menurut penganalisis keselamatan antarabangsa.
Laporan daripada Institute for the Study of War (ISW) memetik sumber dalaman Russia bahawa sekitar 292,000 individu menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan Russia sejak awal 2025 hingga 15 September, bersamaan purata 7,900 orang seminggu.
Sumber itu, yang sebelum ini dilapor konsisten memberi maklumat tepat mengenai perubahan dalam kepimpinan tentera Russia berkata, sebahagian daripada rekrut baharu itu adalah untuk ‘simpanan strategik’ yang mula dibentuk sejak Julai lalu, namun jumlah sebenar tidak dinyatakan.
ISW menilai penurunan angka korban tentera Russia sepanjang musim panas mungkin membolehkan Moscow membina kekuatan simpanan yang signifikan.
“Laporan ini menunjukkan Kremlin tidak berminat menamatkan perang di Ukraine, sebaliknya terus komited mencapai matlamat peperangan di medan tempur dan berkemungkinan sedang bersedia menghadapi konflik dengan NATO,” jelas ISW.
Peningkatan program ketenteraan-patriotik belia Russia juga dilihat sebagai langkah jangka panjang untuk merekrut lebih ramai golongan muda ke dalam angkatan tentera.
Walaupun Putin membuat gesaan damai secara terbuka, termasuk berjanji mematuhi Perjanjian Pengurangan Senjata Strategik Baharu (New START) selama setahun selepas tamat pada Februari depan, aktiviti ketenteraan Russia di sempadan Eropah mencetuskan kebimbangan baharu.
Menteri Dalam Negeri Britain, Yvette Cooper pada Isnin mengumumkan jet pejuang Britain kini bersedia untuk berdepan pesawat Russia yang didakwa melanggar ruang udara NATO, selepas beberapa insiden pencerobohan sejak dua minggu lalu.
Estonia mendakwa tiga jet pejuang Russia melanggar ruang udaranya Jumaat lalu, selepas Poland dan Romania menuduh Russia menceroboh dengan dron. Moscow menafikan serangan itu disengajakan.
Ketegangan turut meningkat dengan latihan ketenteraan bersama Zapad antara Russia dan Belarus di sempadan NATO. Walaupun lebih kecil berbanding edisi 2021, pemerhati asing mengingatkan Russia pernah menggunakan latihan sama sebagai langkah awal pencerobohan ke Georgia pada 2008 dan Ukraine pada 2022. -AGENSI











