PBB dedah Russia seksa tahanan awam dari Ukraine secara sistematik - Utusan Malaysia

PBB dedah Russia seksa tahanan awam dari Ukraine secara sistematik

ANGGOTA baharu Angkatan Tentera Ukraine menyertai latihan meningkatkan kemahiran taktikal di lokasi yang dirahsiakan di wilayah Zaporizhzhia, 13 Ogos lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pihak berkuasa Rusia didakwa telah menyeksa tahanan awam di wilayah Ukraine yang didudukinya secara meluas dan sistematik, demikian menurut laporan terbaharu Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Laporan itu menyimpulkan sejak pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022, Moscow didapati melakukan corak pencabulan undang-undang antarabangsa yang konsisten terhadap tahanan awam Ukraine.

Berdasarkan temu bual dengan 216 bekas tahanan awam di wilayah diduduki sejak Jun 2023, sebanyak 92 peratus daripada mereka memberikan keterangan yang konsisten mengenai penderaan dan penyeksaan dialami sepanjang tempoh penahanan.

Antara kaedah seksaan yang dilaporkan termasuk dipukul dengan objek keras seperti baton dan kayu, kejutan elektrik pada anggota badan, ugutan bunuh, penghinaan, kedudukan seksaan serta lakonan hukuman mati.

“Ramai tahanan terdedah kepada pelbagai bentuk penderaan secara berulang-ulang sepanjang ditahan,” menurut laporan itu.

Pihak berkuasa Ukraine pada Mei lalu menganggarkan kira-kira 1,800 rakyatnya kini masih ditahan Russia, namun jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk menegaskan, ramai penduduk Ukraine ditahan secara sewenang-wenangnya di jalanan, dikenakan tuduhan di bawah undang-undang yang berubah-ubah, serta dikurung berbulan-bulan malah bertahun-tahun.

“Adalah penting hak asasi tahanan awam diberikan keutamaan dalam sebarang rundingan damai,” katanya.

Dalam masa sama, laporan PBB itu turut merekodkan beberapa kes penderaan terhadap tahanan awam di bawah kawalan pihak berkuasa Ukraine dan sehingga Julai lalu, Kyiv melaporkan lebih 2,250 tahanan berkaitan konflik berada di pusat tahanan dan penjara rasmi.

Majoriti adalah rakyat Ukraine sendiri, manakala hanya segelintir merupakan warga Russia.

Ukraine dilaporkan menahan warganya atas tuduhan berkaitan keselamatan negara, termasuk pengkhianatan, pengintipan serta kerjasama dengan pihak pendudukan Russia.

Tuduhan itu turut merangkumi kerja-kerja biasa seperti perkhidmatan kecemasan, pembinaan, bantuan kemanusiaan dan pengutipan sampah sepanjang tempoh pendudukan, menurut laporan tersebut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×