SHAH ALAM: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang ditangguhkan bacaan kali keduanya pada Oktober tahun lalu tidak ditarik balik, malah sesi libat urusnya diteruskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau mengarahkan Mufti Wilayah Persekutuan meneruskan sesi libat urus dengan lebih giat bagi memberikan penerangan tentang bidang kuasa RUU berkenaan.
“RUU tersebut secara dasarnya tidak pernah ditarik balik sebaliknya akan dibentang semula pada suatu waktu yang sesuai. Buat masa ini saya mengarahkan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan untuk melakukan sesi libat urus dengan pihak berkaitan dan pemegang taruh.
“Buat ini masa ini kita ingin memperhebat dan memperluaskan usaha libat urus tersebut supaya lebih ramai akan faham tentang objektif pembentangan dan penggubalan RUU tersebut,” katanya kepada pemberita pada Karnival Keluarga Sejahtera, hari ini.
Pada 12 Disember tahun lalu Utusan Malaysia melaporkan, RUU Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 ditangguhkan ke Mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkara itu dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab lisan persidangan.
RUU tersebut sebelum ini dibentangkan pada bacaan kali pertamanya dalam Sidang Dewan Rakyat, pada Julai tahun lalu.
Mohd.Na’im berkata, RUU tersebut masih di Dewan Rakyat dan pihaknya akan terus bergerak secara proaktif dalam sesi libat urus.
“Yang pasti RUU kita tidak tarik atau batalkan. Perkara yang penting untuk memberi pemahaman bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul,” ujarnya. – UTUSAN










