PETALING JAYA: Pasangan ibu dan anak antara lapan pegawai agensi penguat kuasa yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dalam serbuan Op Rentas yang dijalankan serentak di empat negeri sejak Selasa, minggu lalu.
Dalam operasi tersebut, SPRM Negeri Sembilan turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM80,000 serta barangan kemas bernilai kira-kira RM50,000 daripada kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa tersebut.
Menurut Tiktok rasmi SPRM, SPRM turut merampas alat telekomunikasi yang bernilai kira-kira RM20,000, dua unit kereta bernilai kira-kira RM106,000 dan juga dua unit motosikal bernilai kira-kira RM20,000.
“Selain itu, enam lagi suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita turut ditahan dalam operasi tersebut.
“Bagi keenam-enam tahanan tersebut, SPRM telah merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai yang terdiri daripada Ringgit Malaysia bernilai kira-kira RM12,000; mata wang asing dolar Amerika Syarikat AS$5,000 (RM21,000) dan baht 2,360 (RM312.97) selain alat telekomunikasi bernilai kira-kira RM29,000 juga barangan kemas bernilai kira-kira RM200,000,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, turut dibekukan akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai kira-kira RM1 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan, Datuk Saiful Ezral Arifin berkata, kesemua suspek disyaki bersekongkol dengan sindiket counter setting.
“Mereka dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN









