ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjangkakan pertembungan sengit menentang Palestin dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam ini.
Cklamovski berkata, perlawanan itu merupakan ujian getir buat Harimau Malaya untuk menguji keampuhan taktikal yang diterapkan ketika berdepan pasukan yang agresif.
Katanya, tidak dinafikan pasukan yang mendapat julukan Lions of Canaan dibarisi pemain yang berbakat namun percaya anak-anak buahnya mampu mempamerkan aksi bertenaga bahkan mengejutkan lawan.
Pengendali kelahiran Australia itu menggesa pemain mengekalkan gaya permainan yang menyakinkan ketika menewaskan Singapura 2-1, Khamis lalu.
“Pada aksi berdepan Singapura, pasukan bermain dengan baik apabila mendominasi perlawanan, kita mempunyai 20 percubaan berbanding lima yang dimiliki lawan.
“Saya percaya pemain mampu mengekalkan momentum itu pada perlawanan menentang Palestin, walaupun siapapun pemain diturunkan, saya percaya mereka dapat beraksi dengan baik,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan, semalam.
Dalam pada itu, pengendali berusia 47 tahun itu berkata, pihaknya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan dan menuntut pemain memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan.
Katanya, dia juga tidak merancang untuk melakukan eksperimen berdepan pasukan di ranking ke-98 dunia, sebaliknya kekal dengan strategi yang digunakan.
“Objektif kita adalah kekal dengan corak permainan yang diterapkan. Kita tidak bergantung pada seseorang pemain sahaja, siapa pun pemain yang diturunkan, kita akan kekal dengan prinsip dan cara permainan Harimau Malaya.
“Ini peluang terbaik untuk menguji diri menentang lawan yang sukar. Justeru, pemain perlu fokus pada permainan sepasukan, cuba mempamer aksi terbaik dan mencari ruang menjaringkan gol,” katanya. – UTUSAN











