SAYA seorang bekas kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang pernah berkhidmat selama bertahun-tahun. Saya menyaksikan sendiri bagaimana institusi ini berkembang, dihormati dan dikenali bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di pentas antarabangsa. Nama “Tabung Haji” membawa makna, ia sinonim dengan perjalanan suci umat Islam ke Tanah Suci, dengan disiplin kewangan Islam, dengan amanah dan keberkatan.
Saya masih ingat ketika era kepimpinan Tan Sri Ismee Ismail sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH. Pada waktu itu, TH bekerjasama dengan sebuah syarikat komunikasi milik Bumiputera dan Muslim yang terbukti berkredibiliti. Saya sendiri berpeluang bekerja bersama mereka. Banyak krisis berjaya ditangani, reputasi TH dipertahankan dan kerja komunikasi TH pada waktu itu bahkan diiktiraf dengan anugerah industri selama tiga tahun berturut-turut.
Amanah umat Islam seharusnya diberikan kepada mereka yang memahami aspirasi, sensitiviti dan misi suci institusi Islam. Penjenamaan bukan sekadar tukar warna logo atau slogan baharu, ia adalah soal memahami jiwa umat Islam dan amanah ummah.
Saya tidak menafikan bahawa profesionalisme boleh datang daripada mana-mana pihak. Tetapi untuk institusi yang berdiri atas nama Islam, yang mengurus dana umat Islam dan yang berkait rapat dengan ibadah haji, projek sebegini bukan kerja teknikal semata-mata. Ia perlu roh, pemahaman, sensitiviti dan amanah.
Bagi saya, hanya ada satu bentuk penjenamaan yang benar-benar diperlukan oleh TH iaitu penjenamaan dalaman. Penjenamaan yang memperkukuh integriti pengurusan, membina kembali keyakinan kakitangan dan pendeposit, serta meneguhkan semula misi asalnya, iaitu menjaga amanah umat dan membantu jemaah menunaikan rukun Islam kelima. Penjenamaan luaran atau logo baharu tidak akan membawa kita lebih hampir kepada Allah SWT. Tetapi integriti, kejujuran dan tadbir urus yang baik, itulah penjenamaan sebenar yang akan mengangkat kembali maruah TH. – UTUSAN
LAN
Bekas kakitangan TH











