350,000 sertai perhimpunan pro-Palestin di seluruh Australia

350,000 sertai perhimpunan pro-Palestin di seluruh Australia

RIBUAN penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam perhimpunan pro-Palestin di Melbourne, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Ribuan rakyat Australia menyertai perhimpunan pro-Palestin pada Ahad, ketika hubungan antara negara itu dan Israel tegang susulan keputusan kerajaan untuk mengiktiraf Palestin.

Menurut Palestine Action Group, lebih 40 perhimpunan diadakan di seluruh negara semalam, termasuk kehadiran terbesar di Sydney, Brisbane dan Melbourne.

Kumpulan itu berkata, kira-kira 350,000 orang menghadiri perhimpunan di seluruh negara, termasuk 50,000 di Brisbane, walaupun polis menganggarkan jumlah sebenar mencecah 10,000.

Polis tidak mempunyai anggaran penunjuk perasaan di Sydney dan Melbourne.

Penganjur perhimpunan di Sydney, Josh Lees berkata, rakyat Australia berhimpun untuk menuntut penghentian genosid di Gaza dan mendesak kerajaan mengenakan sekatan ke atas Israel.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Yahudi Australia, Alex Ryvchin memberitahu Sky News, perhimpunan tersebut mewujudkan ‘persekitaran tidak selamat dan tidak sepatutnya berlaku’.

Perhimpunan itu berlaku susulan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu minggu lalu meningkatkan ‘serangan peribadi’ terhadap rakan sejawatannya di Australia, Anthony Albanese, berhubung keputusan kerajaan mengiktiraf negara Palestin.

Hubungan diplomatik antara Australia dan Israel semakin tegang selepas kerajaan Parti Buruh di bawah pimpinan Albanese berkata, ia akan mengiktiraf negara Palestin secara bersyarat, mengikuti langkah serupa Perancis, Britain dan Kanada.

Pengumuman pada 11 Ogos lalu dibuat beberapa hari selepas puluhan ribu orang berarak merentasi Jambatan Pelabuhan ikonik Sydney, menuntut keamanan dan penghantaran bantuan ke Gaza.

Menurut Pihak berkuasa Palestin, konflik itu meragut lebih 60,000 orang di Gaza, manakala pertubuhan kemanusiaan berkata kekurangan makanan menyebabkan krisis kebuluran meluas.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×