79 PATI dicekup di markas judi, pusat hiburan

79 PATI dicekup di markas judi, pusat hiburan

Wanita-wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Kuching.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Seramai 79 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak ke atas markas judi dalam talian dan pusat hiburan di sini.

Kesemuanya yang terdiri daripada 73 lelaki warganegara Indonesia, seorang wanita Vietnam dan lima wanita Filipina dicekup menerusi Ops Gegar dan Ops Sapu yang dijalankan pada 22 hingga 23 Ogos lalu, bermula pukul 11 malam hingga 2 pagi.

Operasi itu menyasarkan lima buah rumah sewa di sekitar Lorong Batu Kawa dan Matang yang dipercayai aktif dijadikan markas kegiatan judi dalam talian, serta sebuah pusat hiburan di pusat bandar raya Kuching.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat ke atas 93 individu, seramai 79 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan menyalahgunakan pas lawatan yang diberi,” kata JIM Sarawak menerusi satu kenyataan.

Katanya kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kenyataan itu menambah, operasi tersebut dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan pegawai penguat kuasa, sebagai komitmen berterusan dalam membanteras kegiatan PATI dan penyalahgunaan pas lawatan.

“JIM Sarawak mengucapkan terima kasih kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan dan menyeru agar kerjasama ini diteruskan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×