TEL AVIV: Bekas menteri pertahanan Israel, Benny Gantz, menggesa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu membentuk kerajaan perpaduan bersama pembangkang bagi membantu membebaskan tebusan yang ditahan di Gaza.
Kerajaan pimpinan Netanyahu kini bergantung kepada sokongan parti sayap kanan yang menolak penamatan perang dan sebarang rundingan dengan pejuang Hamas.
Gantz, yang pernah menyertai kerajaan Netanyahu pada peringkat awal konflik mencadangkan pembentukan gabungan sementara yang dapat mengetepikan parti sayap kanan bagi membolehkan rundingan tebusan dimeterai.
“Saya berdiri di sini mewakili tebusan yang tidak bersuara. Saya di sini untuk para askar yang merintih tetapi tidak didengari kerajaan ini,” kata Gantz dalam sidang media yang disiarkan televisyen.
“Tanggungjawab negara adalah, pertama sekali, menyelamatkan nyawa rakyat Yahudi dan semua warganya,” tambah beliau sambil menyeru pemimpin pembangkang lain, Yair Lapid dan Avigdor Lieberman supaya mempertimbangkan cadangan itu.
Bagaimanapun, kedua-dua tokoh pembangkang tersebut sebelum ini menolak untuk menyertai mana-mana kerajaan yang diketuai Netanyahu.
Kerjaaan gabungan Netanyahu kini berdepan risiko tumbang selepas cuti musim panas Parlimen berakhir, susulan kehilangan sokongan parti ultra-Ortodoks Yahudi berhubung undang-undang draf pelajar seminari agama ke dalam tentera.
Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, anggota sayap kanan dalam kerajaan Netanyahu yang mungkin diketepikan jika cadangan Gantz diterima dengan pantas menolak idea itu.
“Pengundi sayap kanan memilih dasar sayap kanan, bukan dasar Gantz, bukan kerajaan berpusat, bukan perjanjian menyerah dengan Hamas, tetapi kemenangan mutlak,” katanya dalam kenyataan.
Kerajaan Israel ketika ini berdepan tekanan domestik yang semakin meningkat untuk menamatkan perang Gaza dengan protes besar-besaran menuntut perjanjian yang membolehkan tebusan dibebaskan.- AGENSI










