KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,633 kes juvana mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dilaporkan di seluruh negara sejak 2023 hingga Jun 2025, menurut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pecahan kes tersebut melibatkan 2,006 kes pada 2023, 2,442 kes pada 2024, manakala bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini pula mencatatkan 1,185 kes.
“Bagi pecahan negeri pula, Johor merekodkan jumlah tertinggi, diikuti Selangor (892 kes), Perak (506), Sabah (474), Sarawak (460) dan Kedah (433).
“Selain itu, Kelantan (347), Pahang (331), Kuala Lumpur (315), Pulau Pinang (294), Terengganu (275), Negeri Sembilan (241), Melaka (218) dan Perlis (116),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai jumlah terkini kes jenayah juvana mengikut Akta Kanak-kanak 2001 termasuk data terperinci mengikut umur pesalah, waktu kejadian dan lokasi.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, berdasarkan pecahan umur, remaja berusia 16 hingga 18 tahun mencatatkan kes tertinggi dengan 3,637 kes, manakala jumlah terendah dicatatkan dalam kalangan pesalah berusia tujuh hingga 10 tahun iaitu 21 kes.
Bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 yang melibatkan pencegahan remaja bawah umur berkeliaran tanpa pengawasan pada waktu malam, PDRM telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan.
“Antaranya termasuk program kesedaran awam seperti ceramah, seminar dan pameran untuk mendidik ibu bapa mengenai tanggungjawab menjaga anak bawah umur serta menjalankan pemantauan berterusan terhadap kawasan berisiko tinggi yang sering menjadi tumpuan remaja,” katanya. – UTUSAN











