Belanjawan 2027: Bantuan pemandu teksi patuhi tatacara kewangan kerajaan

Belanjawan 2027: Bantuan pemandu teksi patuhi tatacara kewangan kerajaan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Tatacara perbelanjaan kewangan kerajaan dipatuhi dalam pelaksanaan bantuan khas kewangan secara sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Kewangan bertanggungjawab memastikan semua urusan berkaitan mematuhi tatacara ditetapkan, termasuk melalui proses semakan bajet berdasarkan keperluan semasa.

Menurutnya, peruntukan yang diumumkan dalam belanjawan merupakan unjuran bagi tempoh setahun dan boleh melalui proses semakan bagi memastikan pengurusan kewangan dilaksanakan mengikut prosedur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam proses itu, mereka tidak perlu risau, Kementerian Kewangan sebagai agensi kawal selia yang bertanggungjawab dalam soal ini memastikan semua tatacara perbelanjaan kerajaan dipenuhi.

“Saya ingat sebaiknya pembangkang cari modal lain, tak padan untuk diulas. Contohnya, saya dengar seorang ahli Parlimen Pas kata ini bajet jerebu. Saya ingat kepala dia pun jerebu juga,” katanya selepas menyertai Wacana Nasional Surah al-Hujurat di sini, hari ini.

Beliau mengulas kritikan pembangkang yang mempertikai bantuan kepada pemandu teksi termasuk kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara yang akan dibayar minggu depan, sedangkan ianya dibentangkan dalam Belanjawan 2027.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, manfaat sesuatu pengumuman wajar diakui terlebih dahulu sebelum sebarang kritikan dibangkitkan, khususnya apabila persoalan berkaitan tatacara dan pengurusan perbelanjaan.

Sementara itu, ujarnya, pembangkang juga terlepas peluang mengemukakan belanjawan alternatifsebelum pembentangan Belanjawan 2027, sekali gus mengurangkan ruang untuk perbahasan yang membandingkan cadangan dasar antara kerajaan dengan pembangkang.

“Seingat saya, sepanjang di blok pembangkang, kami tak pernah terlepas satu tahun pun bentangkan bajet bayangan. Pernah berlaku bila kami bentangkan beberapa hari sebelum belanjawan nasional, perbahasan dalam Parlimen membandingkan antara dua cadangan bajet.

“Kalau ada bajet bayangan, lebih mudah kita bahas idea lawan idea, strategi lawan strategi dan dasar lawan dasar. Itu baru perbahasan yang sihat. Tapi mereka dah terlepas yang itu,” katanya.

Dalam pada itu, peruntukan RM490 juta kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan dimanfaatkan bagi menambah elemen sumber manusia serta memperkukuh penggunaan teknologi moden dalam kawalan keselamatan sempadan negara.

Saifuddin Nasution berkata, peningkatan peruntukan berbanding RM20 juta tahun lepas mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa peranan AKPS sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab terhadap kawalan dan perlindungan sempadan negara.

“Dengan peruntukan sebesar ini, pertama adalah soal penjawatan, sebab sekarang ini AKPS beroperasi di pintu masuk dengan kekuatan tidak cukup tapi tugasan semakin membesar, jadi dengan peruntukan itu kami boleh menambahkan lagi dari sudut keupayaan sumber manusia,” katanya.

Menyentuh peruntukan keseluruhan RM22 bilion kepada KDN, beliau berkata kebajikan anggota pasukan beruniform menjadi keutamaan, antaranya melalui penyediaan kuarters lebih selesa, menaik taraf kemudahan sedia ada dan penambahbaikan prasarana tempat kerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini