KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin membenarkan pelarian berdaftar mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar) bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pengambilan pekerja asing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan dengan meneliti data kira-kira 225,000 individu berstatus pelarian berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Beliau berkata, kerajaan berhasrat mengenal pasti pelarian dalam lingkungan umur produktif yang melepasi proses tapisan bagi menilai potensi mereka memenuhi keperluan tenaga kerja negara.
“Di satu sisi lain, kita ada 225,000 yang UNHCR kata berstatus pelarian. Depan mata kita. Jadi, idea besar ni, idea besar, belum jalan lagi. Kalaulah kita boleh kumpulkan data 225,000 orang ini, kemudian kita pisahkan yang mempunyai julat umur yang masih produktif, umur iaitu 20, 25, 30, masih produktif yang telah kita tapis, kita ada datanya.
“Jadi, hasrat kita adalah keperluan tenaga kerja, tak semestinya kita ambil daripada luar.
“Saya bagi contoh, katalah Pasir Gudang ada ladang sawit, perlukan 100 pekerja, ada dua pilihan. Nak ambil daripada Bangladesh dan bayar segala macam kos, ataupun semak dengan data pendaftaran pelarian kami yang memang dah ada umpamanya.
“Itu keputusan yang akan kita buat. Buat masa ni saya tidak menolak kemungkinan laluannya ke situ bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang real di hadapan kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang membenarkan pelarian Rohingya yang berdaftar di bawah Program Dokumentasi Pelarian (DPP) bekerja dalam sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar), khususnya ketika negara berdepan kekurangan tenaga kerja asing.
Jimmy turut membangkitkan persoalan kemungkinan kerajaan membenarkan golongan itu mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor berkenaan bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pengambilan pekerja asing dari luar negara.
Menurut Saifuddin, keperluan pekerja asing ketika ini tertumpu kepada lima sektor ekonomi, iaitu pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.
Katanya, kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan boleh memberi kesan kepada kegiatan ekonomi, khususnya bagi pekerjaan seperti mengait buah kelapa sawit dan menyusun bata.
“Ada lima sektor ekonomi yang memerlukan pekerja. Kementerian Ekonomi letakkan syiling, pekerja asing boleh dibawa masuk.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, jumlahnya tidak boleh melampaui 10 peratus daripada guna tenaga. Guna tenaga kita 17 juta, sepanjang RMK-13, 1.7 juta adalah syiling, bagi lima sektor ekonomi iaitu pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan juga perkhidmatan.
“Dan lima sektor ekonomi ni kalau tak ada pekerja asing, maka ia bagi kesan kepada ekonomi kita. Maksudnya tak ada orang yang nak pergi kait sawit, nak susun bata, itu realitinya.
“Setiap tahun KDN antara agensi kawal selia yang ikut terlibat dalam memutuskan tentang status kelulusan pekerja asing dan sebagainya,” katanya. –UTUSAN











