Agenda 'Greater Israel' ancam keselamatan negara Arab, serantau

Agenda ‘Greater Israel’ ancam keselamatan negara Arab, serantau

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk imej Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semasa perhimpunan pro-Palestin di Sydney, Australia, pada 3 Ogos lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Menteri luar negara Arab dan Islam mengecam kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung agenda ‘Greater Israel’ susulan cadangan sekutu kanannya untuk memperluaskan kuasa di wilayah Palestin.

Dalam kenyataan bersama semalam, para menteri menyifatkan kenyataan Netanyahu dan Kabinetnya sebagai ‘pelanggaran jelas dan berbahaya’ terhadap undang-undang antarabangsa.

“Ia juga merupakan ancaman langsung kepada keselamatan negara Arab, kedaulatan serta keselamatan serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan disiarkan Agensi Berita Saudi (SPA).

Kenyataan tersebut ditandatangani Menteri Luar Arab Saudi, Algeria, Bahrain, Bangladesh, Chad, Comoros, Djibouti, Mesir, Gambia, Indonesia, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Libya, Maldives, Mauritania, Maghribi, Nigeria, Oman, Pakistan, Palestin, Qatar, Senegal, Sierra Leone, Somalia, Sudan, Syria, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ia turut disokong Setiausaha Agung Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Kerjasama Teluk.

Kenyataan itu menegaskan semula komitmen negara masing-masing terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Perkara 2(4) yang melarang penggunaan kekerasan atau ancaman, selain berikrar untuk memelihara keamanan sejagat demi keselamatan, kestabilan dan pembangunan bersama.

Mereka turut menolak keputusan menteri pelampau Israel, Bezalel Smotrich, yang meluluskan rancangan penempatan di kawasan E1 di Tebing Barat serta kenyataan rasisnya menolak penubuhan negara Palestin.

Menurut kenyataan tersebut, rancangan Israel merupakan serangan terhadap hak rakyat Palestin untuk merealisasikan sebuah negara merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara.

Mereka turut memberi amaran sikap Israel yang mengabaikan hak rakyat Palestin, negara jiran dan masyarakat antarabangsa, boleh menyemarakkan kitaran keganasan serta konflik, termasuk menjejaskan prospek untuk mencapai keamanan menyeluruh di rantau itu.

Ia turut mengulangi kecaman terhadap jenayah pencerobohan, pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik, termasuk menekankan keperluan gencatan senjata serta akses kemanusiaan tanpa syarat di Gaza.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×